Tuesday, March 29, 2011

Rela sedia banteras jenayah bersama PDRM


KETUA Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam (kiri) dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni (kanan) memakaikan Pangkat Kehormat Rela kepada Erwan Mohd. Tahir pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Rela Sempena Hari Bertemu Pelanggan KDN di IOI Mall, Puchong, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Mac - Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) komited untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah sehingga ke tahap paling minimum.


Leftenan Kolonel Kehormat Rela, Datuk Seri Dr. Erwan Datuk Mohd. Tahir berkata, sehubungan itu, pihaknya akan menggerakkan semua anggota menjadi 'mata dan telinga' kerajaan.


"Skop kerja Rela telah diperluaskan dari semasa ke semasa untuk membantu PDRM, contohnya turut terlibat dalam melakukan serbuan dan menangkap pendatang asing tanpa izin.


"Kami (Rela) berjaya dalam misi itu dan kerana itu kami semakin yakin untuk membantu PDRM," katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormatan Rela di IOI Mall, di sini hari ini.


Pada majlis itu, seramai 41 anggota Rela menerima pangkat masing-masing dan mereka diberi kepercayaan dalam membantu mengurangkan jenayah di kawasan-kawasan tertentu.


Erwan turut berharap agar setiap anggota Rela terus mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.


"Saya mahu anggota Rela bersama membantu menyelesaikan masalah masyarakat agar pasukan ini dipandang tinggi setaraf dengan unit beruniform lain," katanya.

Related Posts with Thumbnails