Monday, April 5, 2010

Polis erat hubungan dengan masyarakat

GERIK 4 April - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Perak mengadakan program kebudayaan 1Malaysia di Dataran Gerbang Malam di sini baru-baru ini bagi merapatkan hubungan kerjasama dengan masyarakat.


Turut mengambil bahagian dalam persembahan itu ialah kakitangan Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Ketua Polis Daerah Hulu Perak, Supritendan Mahad Nor Abdullah berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.


''Matlamat kita adalah mahu mendekatkan diri dengan masyarakat. Dan apa yang kita lihat, sambutannya begitu menggalakkan," katanya.


Antara persembahan yang diadakan ialah sketsa yang mencuit hati penonton, pertandingan karaoke dan persembahan kebudayaan dikir barat menggabungkan penyertaan para anggota tentera dan polis.


Selain mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat, kata Mahad Nor, ia juga bertujuan untuk menarik minat orang ramai mendaftar sebagai Rakan Cop.


Sementara itu, pihak SPR telah menyediakan kemudahan kepada mereka yang belum mengundi membuat pendaftaran.


Turut diadakan sempena program itu adalah tayangan percuma filem Adnan Sempit yang mendapat sambutan hangat para penonton.


''Program sebegini akan kita adakan dari semasa ke semasa memandangkan sambutan yang di luar jangkaan.


''Saya juga amat berpuas hati dengan sokongan orang ramai untuk turut sama menyertai Rakan Cop," katanya.

Related Posts with Thumbnails