PENGUMUMAN pemberian elaun tambahan bulanan RM200 kepada kira-kira 33,000 anggota polis untuk tugasan am dan skim kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan awam bagi anggota berpangkat konstabel dan lans koperal harus dialu-alukan.
Bagi saya, insentif ini yang diumumkan sempena Hari Polis pada 25 Mac lalu oleh Perdana Menteri merupakan satu pengiktirafan kepada khidmat dan pengorbanan pasukan PDRM.
Insentif tersebut telah lama ditunggu memandangkan peranan dan komitmen para anggota polis yang berbakti secara ikhlas dan jujur untuk menjamin keselamatan negara dan orang awam.
Seperti slogan ‘Jasamu Dikenang’, anggota polis sudah banyak berkorban untuk rakyat dan negara. Jadi, apa yang diberikan kepada mereka memang berbaloi dengan jasa yang dicurahkan.
Sungguhpun ada anggota polis berasa lebih banyak lagi insentif patut diberikan, namun pihak kerajaan hanya dapat membuat pemberian mengikut kemampuan.
Saya gembira dengan insentif itu kerana dua sebab. Pertamanya, selama ini saya banyak menyuarakan perlunya kerajaan menyediakan insentif kepada anggota polis terutama kepada mereka berpangkat rendah, setimpal dengan kerja mereka.
Keduanya adalah sebagai mantan Ahli Suruhanjaya Diraja Penambaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, saya dapat mengemukakan cadangan mengenai penambahbaikan gaji, elaun dan aspek kebajikan lain anggota polis.
Saya juga gembira melihat beberapa cadangan suruhanjaya mengenai penambahbaikan perkara berkaitan kebajikan anggota polis dapat diterima dan dilaksanakan.
Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikan insentif baru kepada anggota berpangkat rendah. Mereka tetap layak menerima semua insentif yang telah diberikan. Saya percaya, insentif baru tersebut akan menyemarakkan lagi semangat anggota, khususnya yang berpangkat rendah untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan dan ketenteraan awam.
Dalam usaha kita mengurangkan kadar jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) iaitu keseluruhan sebanyak lima peratus dan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini, anggota polis perlu menunjukkan komitmen yang lebih tinggi semasa menjalankan tugas masing-masing.
Pihak PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus di seluruh negara sepanjang Januari dan Februari, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membanteras dan mencegah jenayah, setiap anggota dan pegawai PDRM perlu mengamalkan beberapa nilai utama seperti sentiasa berkhidmat dengan ikhlas, jujur, berkesan dan berintegriti serta profesional bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta isu dadah dan kemasukan pendatang haram, bilangan kejadian jenayah boleh meningkat.
Ini merupakan satu waktu yang mencabar kepada pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang dan mereka harus berusaha membanteras jenayah dan melindungi orang awam.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sangat bimbang tentang kejadian jenayah hari ini, dan menyeru orang awam agar lebih berhati-hati serta memainkan peranan yang lebih proaktif untuk menangani jenayah.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia