ALOR SETAR: Polis mengenal pasti 15 sekolah di Kedah di mana pelajarnya terlibat dalam kegiatan mengedar dan menggunakan dadah.
Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata pihaknya dalam proses menangani kegiatan jenayah itu di sekolah di beberapa daerah termasuk Kota Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Padang Terap.
“Hasil tangkapan sebelum ini mendapati mereka mengambil dan mengedar dadah terutamanya jenis syabu dan ketum kerana ia mudah didapati.
“Kita ingin ‘mencuci’ sekolah yang dikenal pasti yang mana melibatkan hampir 100 pelajar kerana bimbang kegiatan ini terus berleluasa melalui aktiviti merekrut lebih ramai pelajar sekolah,” katanya selepas program derma darah bersempena Peringatan Hari Polis Ke-210 di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.
Pada program tersebut, Asri turut melawat dan menyampaikan sumbangan berbentuk hamper kepada 80 pesakit di hospital berkenaan.
Asri berkata pihaknya menghasilkan sebuah video dokumentari berkaitan jenayah dadah dalam bentuk VCD untuk diagihkan kepada setiap anggota parlimen dan sekolah di seluruh Kedah sebagai usaha membanteras jenayah dadah.
“VCD ini mengandungi dokumentari mengenai dadah seperti bekas penagih menceritakan kesan buruk pengambilan dadah, pada peringkat awal, 1,000 keping VCD akan diagihkan.
“Pada 30 April ini, satu program bersama anggota parlimen akan diadakan bagi membincangkan masalah dadah yang berlaku di kawasan masing-masing dan mereka akan turut diberi VCD terbabit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asri berkata indeks jenayah di Kedah mencatat penurunan 5.65% bagi tempoh Januari hingga 15 April tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Katanya, sepanjang tempoh itu 1,938 kes jenayah dicatatkan di negeri ini berbanding 2,054 kes dalam tempoh sama tahun lepas.