Wednesday, June 6, 2012

SYOR ELAUN KHAS POLIS ZAMAN DARURAT

ARKIB : 26/12/2010
BALING 25 Dis. - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mencadangkan kerajaan membayar elaun khas dan ex-gratia kepada kira-kira 40,000 anggota bekas polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat.

Presidennya, Shafie Bakri berkata, ia antara cadangan tambahan persatuan yang telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Dalam Negeri untuk diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pihak terbabit.

Katanya, PBPM telah mengadakan lima pertemuan dengan pihak berkenaan bagi membolehkan kerajaan mengenang jasa mereka yang pernah berjuang bermati-matian menentang pengganas komunis pada zaman itu.

"Kita yakin kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu bagi membolehkan kira-kira 40,000 bekas polis pada zaman darurat menikmati elaun khas itu," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bekas polis, Che An, 70, dari Jalan Bakar Sampah Kampung Raja, Kupang dekat sini yang mendakwa gagal mendapat bantuan khas kerajaan sebanyak RM1,000 di Balai Polis Kupang hari ini.

Hadir sama Ketua Polis daerah, Supritendan Mat Daud Mat Hasan dan Setiausaha Agung PBPM, Mohd. Hanafiah Abdul Manaf dan barisan Exco persatuan tersebut.

Shafie berkata, pihaknya mengemukakan rayuan memandangkan kebanyakan bekas polis yang terlibat kini berusia lebih 75 tahun dan hidup dalam keadaan kesempitan.

Malah, katanya, ada antara mereka telah meninggal dunia dan kini meninggalkan balu dan anak-anak.

Beliau memberitahu, PBPM turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan agar bahagian veteran bekas polis dinaikkan taraf menjadi jabatan hal ehwal khas veteran.

Sementara itu, persatuan berkenaan meminta bekas polis yang belum menyertai PBPM agar menghubungi pihak persatuan di negeri masing-masing bagi membuat pendaftaran.

Katanya, pihak berkenaan juga boleh melayari laman web persatuan itu di www.bekaspolis.com atau menghubungi ibu pejabat di talian 03-4041777 atau 03-40457877.

Dalam majlis berasingan di Kangar, Shafie berkata, kira-kira 40,000 pesara polis yang berkhidmat pada zaman darurat tidak menikmati sebarang imbuhan setelah tamat perkhidmatan malah ada daripada mereka yang hidup dalam keadaan daif dan terlantar sakit.

"Mereka berkhidmat sekitar tahun 1948 sehingga 1974 di seluruh negara dan kini kebanyakannya di penghujung usia malah ada yang tidak mempunyai pendapatan khusus untuk meneruskan hidup," ujarnya.

Katanya, antara jawatan yang disandang termasuk anggota Polis Khas, Polis Tambahan, Skuad Hutan dan Pasukan Sukarelawan Polis.

"Kami berharap kerajaan mencadangkan satu kaedah imbuhan yang munasabah untuk mereka bagi membela dan mengenang kembali jasa yang telah mereka curahkan untuk rakyat dan negara ini," katanya.
Related Posts with Thumbnails