Wednesday, December 15, 2010

Awas sindiket jual ubat batu landak

Oleh KHAIRATTUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 14 Dis. - Orang ramai dinasihati berwaspada jika dihampiri seorang lelaki atau sekumpulan penjual ubat batu landak yang menjalankan kegiatan penipuan di sekitar bandar Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, setakat ini, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes penipuan berkaitan ubat batu landak pada Oktober dan 9 Disember lalu.

Katanya, mangsa pertama berusia 50-an mengalami kerugian hampir RM35,000 manakala mangsa kedua berumur 70-an lesap RM23,000 apabila dipujuk supaya membeli ubat batu landak itu.

''Mangsa didatangi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dengan menawarkan ubat batu landak yang dikatakan mempunyai banyak khasiat.

''Mangsa yang tidak menyedari ditipu terus membeli ubat batu landak itu bagi tujuan perubatan namun menyedarinya palsu setelah dibawa ke Kuala Lumpur dan Kelantan untuk memeriksa ketulenannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd. Samsudin memberitahu, batu landak tersebut dikatakan dapat mengubat pelbagai penyakit kronik termasuk demam denggi dan kanser.

Menurut beliau, penjual batu landak itu juga mendakwa ia mempunyai keistimewaan kepada penyimpannya dari segi kesihatan dan nasib seseorang.

''Sifat dan ciri-ciri batu landak yang ditawarkan kepada mangsa adalah ia berbentuk bulat sebesar bola tenis, berwarna coklat kehitaman dan disimpan dalam sebuah kotak berlapik kain. Sekiranya dikikis ia akan mengeluarkan habuk," jelasnya.

Tambah beliau, mangsa yang berang setelah mengetahui batu landak tersebut palsu melalui kedai ubat tradisional Cina terus membuat laporan polis.

"Orang ramai dinasihati tidak mudah terpedaya dan percaya dengan pujuk rayu penjual batu landak itu.

"Sekiranya sesiapa mempunyai maklumat atau didatangi kumpulan terbabit, segera laporkan di balai berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3554999," katanya.
Related Posts with Thumbnails