Monday, November 1, 2010

PDRM perlu tingkat persepsi awam

Peruntukan mantapkan keupayaan perangi jenayah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menggunakan peruntukan RM350 juta di bawah Bajet 2011 untuk meningkatkan keselamatan awam dengan melaksanakan program untuk mengukuhkan persepsi ma-syarakat kepada pihak berkuasa itu.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu sejajar penurunan kadar indeks jenayah jalanan sebanyak 38 peratus dan penurunan indeks jenayah keseluruhan kepada 16 peratus untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Peruntukan ini akan memantapkan keupayaan PDRM memerangi jenayah yang menjadi kebimbangan rakyat dan ia juga dapat mengukuhkan pandangan rakyat kepada kejayaan memerangi jenayah dicapai PDRM sebelum ini, katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Beliau mengulas peruntukan RM350 juta untuk pelaksanaan pelbagai program, antaranya program pembanterasan jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta serta menjalankan program bandar selamat dan program skim rondaan sukarela di kawasan risiko tinggi.

Katanya, PDRM perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakan program bandar selamat yang bertujuan meyakinkan pelabur asing dan tempatan.

Ia bagi memastikan program pencegahan jenayah dilakukan bersifat menyeluruh dan inklusif, katanya sambil menegaskan MCPF sedia bekerjasama dengan PDRM untuk merangka program pencegahan jenayah untuk masyarakat.
Related Posts with Thumbnails