Wednesday, June 23, 2010

Membudayakan pencegahan jenayah

KEPUTUSAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan seramai 7,042 orang anggota dan pegawai polis dari tugasan pejabat ke tempat awam untuk menjalankan tugas rondaan dan pencegahan jenayah merupakan satu langkah terbaik dari sudut pencegahan jenayah.


Dengan meletakkan lebih ramai pegawai dan anggota polis bagi menjalankan rondaan di tempat awam ia memang boleh membantu mengurangkan kejadian jenayah. Mendekatkan polis dengan masyarakat akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pihak polis komited terhadap usaha membanteras jenayah.


Pendekatan juga perlu dilakukan bagi menyediakan satu platform bagi memulihkan mangsa jenayah dan keluarga mangsa akibat trauma yang mereka lalui. Kebanyakan persepsi negatif terhadap polis boleh ditanggani jika kita mempunyai ruang yang baik dari segi kepakaran kaunseling bagi memulihkan keyakinan mereka ini terhadap sistem kehakiman dan pembanterasan jenayah negara.


Di samping meuar-uarkan transformasi ini kita juga perlu ingat bahawa anggota yang ditugaskan ini terdedah kepada berbagai risiko dan ancaman yang kadang kala membawa kecederaan dan kemungkinan maut. Satu kaedah perlu disediakan kepada anggota yang terlibat dengan kecelakaan semasa bertugas. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan daya usaha sendiri telah menghulurkan bantuan kepada beberapa anggota yang cedera semasa bertugas.


Walaupun tanggungjawab utama pihak polis adalah untuk menghapuskan jenayah, tetapi masyarakat juga harus bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha pencegahan jenayah sebagai tanggungjawab bersama.


Pada pendapat saya memerangi jenayah harus merangkumi beberapa perspektif dan pendekatan.


Di peringkat pendidikan, kita perlu terus-menerus menerapkan program pencegahan untuk menjangkau ke seluruh strata masyarakat dan mendidik generasi muda untuk mengelak diri daripada terjerumus ke kancah gejala sosial dan jenayah. Sekolah perlu mengetatkan disiplin dengan bantuan guru-guru, ibu bapa dan jabatan yang berkaitan.

Ibu bapa pula hendaklah tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan anak-anak. Ibu bapa perlu sentiasa memikirkan hal anak-anak, keselamatan mereka di luar rumah mahupun di sekolah.


Pihak kerajaan pula wajar mengenal pasti punca jenayah yang mempunyai hubung kait dengan keadaan sosioekonomi, pengangguran, kemasukan pendatang tanpa izin dan masalah penagihan dadah. Kerajaan perlu memperkenalkan dasar dan polisi untuk menangani masalah tersebut dengan berkesan.


Menjaga ketenteraman negara bukan hanya melalui penggunaan anggota yang dilengkapi dengan senjata dan kereta peronda semata-mata, malah yang amat penting ialah pendidikan, kaunseling dan psikologi, teknologi komunikasi dan sains sosial juga amat perlu dititik beratkan.


Pendekatan kerajaan ini dilihat menjadi pemangkin kepada MCPF untuk bergerak dengan lebih cergas dan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat besar ini. MCPF komited dan akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu mencapai KPI yang telah di tetapkan ini.

Tan Sri Lee Lam Thye

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan

Jenayah Malaysia (MCPF)

Related Posts with Thumbnails