Sunday, November 1, 2009

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)


Mohd. Azrul Mohd. Kassim (kiri) dan Ahmad Khairol Nizam Saidin (dua dari kiri) memeriksa dokumen seorang warga asing ketika membuat rondaan di kawasan Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 Ogos – “Sejak di bangku sekolah lagi, saya teringin hendak menyarung pakaian seragam polis dan membantu pihak berkuasa menangkap penjenayah.”Hari ini impian yang dipendam oleh Konstabel Sukarelawan Polis (PVR) Ahmad Khairol Nizam Saidin, 20, tercapai apabila dia diterima untuk menyertai pasukan itu.Lebih membanggakan dia adalah antara 43 orang daripada kumpulan pertama PVR terdiri daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang memulakan tugas di 11 lokasi panas di ibu negara.Ahmad Khairol Nizam berkata, dia merasa cukup berbangga apatah lagi dapat menjalankan tugas-tugas pencegahan jenayah di kawasan panas di sekitar ibu negara.“Hari pertama bertugas banyak perkara yang perlu dipelajari dan sangat mencabar terutama bila hendak memeriksa seseorang yang mencurigakan.“Walaupun tugas itu agak penat, namun ia cukup membuatkan saya puas menjadi seorang anggota PVR,” katanya ketika ditemui di hadapan Jalan P Ramlee, di sini hari ini. Tambahnya yang sebelum ini berpengalaman di dalam pasukan JPAM, dia berharap lebih ramai lagi masyarakat akan menyertai pasukan PVR pada masa depan kerana tugas itu mulia di sisi agama. Rakannya, Mohd. Azrul Mohd. Kassim pula berkata, dia menyertai pasukan PVR kerana ingin membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di ibu negara. Katanya, dia akan menggunakan pengalamannya dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) khususnya dalam sesebuah operasi dijalankan.“Dengan adanya PVR, saya berharap kegiatan jenayah di ibu negara dapat dikurangkan,” katanya. Seorang lagi anggota PVR, Khairul Nizam Kadir, 26, yang sebelum ini berkhidmat dengan Rela berkata, dia memasuki pasukan itu untuk membantu masyarakat mengurangkan jenayah.“Meskipun berbeza dengan tugas semasa dalam Rela, tetapi ia sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat membantu orang ramai. “Saya percaya dengan bantuan anggota polis tetap, kami dapat melakukan yang terbaik,” katanya. Sementara itu, sebanyak lima daerah di ibu negara hari ini menerima 10 orang anggota PVR kecuali Putrajaya yang hanya menerima tiga anggota bagi tujuan melakukan rondaan cegah jenayah selama 24 jam. Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi merupakan antara yang terawal menugaskan pasukan PVR bagi menjalankan rondaan pencegahan jenayah antaranya di Bukit Bintang, Jalan Nagasari dan Jalan Pudu. Sementara itu, Ketua Operasi Zon 1 Daerah Dang Wangi, Inspektor Rastam Affandi berkata, seramai 10 anggota PVR dari Rela dan JPAM telah memulakan tugas hari ini dan dibahagikan untuk menjalankan tugas pada sebelah pagi dan malam. “Ia akan dibahagikan kepada tiga syif, iaitu pada pukul 8 pagi sehingga 4 petang, 4 petang sehingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam sehingga 8 pagi. “Setiap syif akan dikawal oleh lapan anggota polis dan dua orang PVR,” katanya. Menurut beliau, penyerapan PVR ke dalam pasukan itu merupakan antara usaha yang dilaksanakan bagi memerangi jenayah jalanan secara besar-besaran di seluruh negara. Jumaat lalu seramai 133 anggota PVR menamatkan kursus kepolisan selama dua minggu sebagai persediaan bagi menjalankan tugas membantu polis membuat rondaan cegah jenayah. Sebanyak 157 kawasan panas di seluruh negara dikenal pasti membabitkan beberapa negeri antaranya Selangor, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Penempatan mereka selaras dengan ketetapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui enam Bidang Hasil Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan 20 peratus jenayah jalanan pada 2010.


Sumber : Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails