Thursday, May 27, 2010

Kesan batal diskaun saman

TINDAKAN polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tidak lagi memberikan diskaun kepada pesalah trafik telah mengundang reaksi yang pelbagai. Di satu pihak, ia mendapat sokongan yang jitu demi meningkatkan pematuhan undang-undang di jalan raya. Manakala di pihak lain, tentulah pengguna jalan raya itu sendiri yang berasa tertekan. Sudahlah mereka tertekan dengan kenaikan harga minyak, cukai jalan, insurans dan sebagainya, kini saman pula pastinya menekan mereka.


Dari segi fundamental utama terhadap penguatkuasaan undang-undang, ia lebih kepada proses pematuhan serta pelaksanaan, bukannya jumlah saman ataupun amaun yang dikenakan. Sekiranya ini tidak difahami, perbuatan mengenakan denda maksimum hanya menjadi satu kezaliman yang tidak mempunyai justifikasi dan lebih bersifat melepas geram kepada golongan pengguna.


Pada hal, proses saman itu sendiri belum lagi memberikan hak kepada pihak berkuasa berkenaan untuk memaksimumkan penalti secara mandatori sekiranya ia belum diwartakan atau tidak diputuskan oleh mahkamah. Secara tidak langsung, mana-mana individu yang disaman akan menjadi mangsa kerana tidak diberikan hak melalui perundangan yang sedia ada untuk memperoleh fasiliti-fasiliti mereka seperti yang sepatutnya.

Di manakah perginya slogan yang dicanangkan oleh kerajaan bahawa rakyat didahulukan itu diterjemahkan sebagai satu realiti dalam kes ini?


Bagi aktivis pengguna, kami melihat tindakan memaksimumkan denda itu adalah satu sikap semberono agensi yang tidak dilaksanakan dengan cara yang bijak. Implikasinya, rakyat memandang serong bahawa dengan mengizinkan perkara itu berlaku, maka kerajaan bersetuju bahawa rakyat perlu ditindas dengan justifikasi mudah untuk mengajar mereka mematuhi peraturan jalan raya.


Mengajar, menghukum dan mendenda mempunyai definisi yang berbeza. Kerana itu, ia tidak boleh diterjemah sebagai satu kelompok dengan satu jenis kefahaman sahaja. Janganlah memindahkan kegagalan kita melaksanakan penguatkuasaan serta amanah yang diberi sehingga mendorong tindakan serta agenda itu diambil, seolah-olah membalas dendam.

Kumpulan rakyat negara ini sudah memasuki fasa matang dalam erti kata memahami hak-hak mereka dan tahu mempertahankannya. Kerana itu, agensi penguatkuasa perlu mempunyai keprihatinan yang lebih sebelum melaksanakan sebarang keputusan supaya tidak mendatangkan ketegangan atau menyusahkan orang ramai.


Pepatah ada mengatakan bahawa jangan sering tuding jari kerana satu jari yang dituding kepada orang lain akan menunjukkan empat jari lain yang menuding diri sendiri. Tentu ada cara lain untuk membantu pengguna menjadi orang yang patuh kepada undang-undang. Hukuman dan kekerasan bukan menjadi budaya yang baik dalam negara yang bertamadun. Sebab itu, imej pegawai penguatkuasa tercemar teruk apabila berlaku kes menembak suspek akhir-akhir ini.

Tentu mesej daripada rakyat itu perlu difahami, bahawa hak mereka tidak boleh diperlekeh.


Perspektif pematuhan, penguatkuasaan dan penalti sebenarnya jauh berbeza. Ia seperti yang ditegaskan di atas tidak boleh dirangkum menjadi satu. Kegagalan menguatkuasa sebenarnya tidak boleh dipindahkan kepada pengguna. Proses penambahbaikan perlu berlaku di pihak agensi yang berkaitan kerana pengguna adalah kumpulan yang sama sejak zaman berzaman.


Mungkin pegawai penguatkuasa kita perlu mempelajari sesuatu dari agensi yang sama di negara maju yang mana, karisma dan kepatuhan masyarakat pengguna tidak perlu dipinta tetapi mampu diwujudkan. Ini kerana imej tidak mampu dijana tanpa asas yang teguh.


Oleh itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia melihat bahawa tindakan kedua-dua agensi itu sebenarnya tidak akan memberi apa-apa impak terhadap tahap pematuhan undang-undang di jalan raya. Dikhuatiri pada masa yang sama, impak yang lebih buruk akan tempias kepada negara dan kepimpinan yang ada sekarang.


Penulis ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Related Posts with Thumbnails