Tiga pegawai polis lelaki yang ditahan pada 10 pagi itu terdiri daripada dua berpangkat Asisten Superintendan dan seorang Inspektor.
Orang awam pula dipercayai merupakan orang tengah kepada ketiga-tiga pegawai polis tersebut untuk mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut tersebut, manakala seorang lagi merupakan pengusaha pusat judi haram yang telah dipantau oleh SPRM sejak beberapa bulan yang lalu.
Difahamkan, wang rasuah itu dibayar sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan-kegiatan haram yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha tersebut.
Menurut sumber, operasi yang dilancarkan itu adalah hasil daripada maklumat yang diperolehi SPRM daripada orang ramai berhubung paksaan oleh beberapa pegawai polis untuk membayar wang rasuah.
Antara pegawai yang dipercayai sering terlibat terdiri daripada mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Jasin.
SPRM dikatakan masih sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan itu termasuk pegawai-pegawai polis di Melaka.
Menurut sumber, SPRM turut menyiasat hubungan dua orang awam yang ditangkap dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia.
Ini adalah kerana, jika terdapat pegawai polis yang enggan bersekongkol dengan aktiviti tersebut, mereka akan ditukarkan dengan serta-merta.
SPRM juga dikatakan sedang menyiasat seorang Ketua Polis Daerah di Negeri Melaka yang pernah ditukarkan sebelum ini kerana keengganannya bersekongkol dengan aktiviti-aktiviti tersebut ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.
Kesemua suspek berusia antara 41 tahun dan 31 tahun dijangka akan direman di Mahkamah Putrajaya pada Rabu untuk membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.