Tuesday, May 4, 2010

JPAM bantu capai sasaran

UMUM mengetahui tugas dan peranan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) adalah menyelamat mangsa, selain diperlukan ketika bencana.


Dengan bilangan keanggotaan yang tinggi iaitu 80,000 orang dan sasaran 100,000 pada penghujung tahun ini, organisasi itu nyata memiliki kelebihan tersendiri.


Justeru, pemilihan JPAM untuk turut serta menyertai polis menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dianggap sesuatu yang tepat.


Ia tidak lain untuk mencapai sasaran kerajaan dalam mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus di empat buah negeri yang dikenal pasti 'panas'.


Sehingga kini, seramai 770 anggota JPAM telah memasuki anggota sukarelawan (PVR) di empat buah negeri yang dikenal pasti iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.


Bagi Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, pihaknya mengalu-alukan langkah tersebut yang merupakan pengiktirafan kerajaan kepada JPAM.


"Ini menunjukkan keupayaan JPAM setara dengan pasukan keselamatan lain. Kita bangga untuk turut sama terlibat.


"Pada saya, ia satu pendekatan positif dan dapat mengoptimumkan tenaga JPAM," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.


Beliau juga menyifatkan pemilihan JPAM dalam menjayakan NKRA selari dengan slogan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu 'rakyat didahulukan'.


Ini kerana, sebahagian besar anggota JPAM adalah mereka yang bekerja secara sukarela untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.


"Maka sebab itu, saya berpendapat kemasukan JPAM amat sesuai iaitu 'dari rakyat untuk rakyat'.


"Selain itu, jika sebelum ini anggota JPAM bertugas secara berkala iaitu ketika kecemasan atau bencana, namun dengan penglibatan NKRA, anggota kita akan terlibat secara sepenuh masa.


"Jika tiada tugas-tugas kepolisan seperti rondaan cegah jenayah, mereka akan kembali ke JPAM untuk bertugas seperti biasa. Dengan ini, ruang masa bekerja dapat dioptimumkan,"ujarnya.


Dengan bilangan keanggotaan yang ramai, JPAM yakin tidak mempunyai halangan menawarkan lebih ramai anggotanya untuk menyertai PVR pada masa depan.


Malah, pihaknya merancang untuk menambah bilangan keanggotaan JPAM dari semasa ke semasa.


Ini akan dilakukan dengan mewujudkan pejabat pentadbiran jabatan itu di semua 152 daerah di seluruh negara.


"Kita yakin dengan adanya pejabat-pejabat ini, lebih ramai akan memasuki JPAM. Ini kerana ramai yang ingin menyertai kami tetapi tidak berpeluang kerana di tempat mereka tidak ada pejabat JPAM.


"Bagi mengurangkan kos, kita akan menggunakan bangunan kerajaan lama dan menaiktarafnya bagi kegunaan pejabat," ujar beliau.


Sekiranya matlamat itu berjaya dilakukan, sudah tentu lebih ramai anggota JPAM dapat disalurkan bagi membantu PDRM membanteras jenayah jalanan.


Dari segi jadual perkhidmatan anggota dalam JPAM, pihaknya akan menyesuaikannya mengikut keperluan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Ini bermakna tiada pertindihan tugas antara JPAM dan PDRM. Anggota akan diberi pelepasan jika diperlukan untuk berkhidmat dalam PVR.


"Anggota kita juga diberi latihan sewajarnya oleh PDRM selain bertugas mengikut seliaan pegawai polis," ujarnya.


Abdul Halim turut percaya dengan strategi PDRM seperti meningkatkan jumlah anggota di lokasi strategik dan mengadakan operasi bersepadu, maka matlamat NKRA mampu dicapai.


Ini terbukti apabila kadar jenayah di empat negeri utama tersebut telah berjaya diturunkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu.


"Saya optimis, JPAM sebagai pasukan sokongan dapat memberi sumbangan kepada PDRM untuk bersama-sama mengurangkan kadar jenayah," katanya.

Related Posts with Thumbnails