Wednesday, July 28, 2010

Kerjasama semua pihak penting atasi masalah sosial

27/07/2010 12:10pm

GEORGETOWN 27 Julai - Kerjasama dari ibu bapa, anggota masyarakat, pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam membantu menurunkan kadar masalah sosial khususnya di kalangan golongan remaja di negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Beliau berkata, kerjasama itu perlu dititik beratkan oleh semua golongan ekoran kes seperti pembuangan bayi, penderaan, ketagihan dadah dan mat rempit semakin menular pada masa ini.


"Ini adalah berdasarkan perangkaan-perangkaan statistik yang banyak menunjukkan betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini," katanya di sini, malam tadi.


Musa berkata, pelbagai pihak perlu memupuk kesedaran bahawa jenayah seperti itu tidak boleh dianggap sebagai remeh oleh masyarakat.


Beliau juga berkata, hubungan antara komuniti dan polis amat penting bagi mendidik masyarakat bahawa pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama dan ia merupakan satu perkara yang perlu dititik beratkan dalam apa juga aktiviti. - Bernama

Anggota polis cedera dilanggar mat rempit

JITRA 24 Julai - Seorang anggota polis patah kaki kanan dan cedera di kepala setelah dirempuh mat rempit ketika menyerbu kumpulan itu di Taman Nilam, Sungai Petani di sini awal pagi ini.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi, ketika mangsa, Lans Koperal Shahril Yusuf, 32, serta seorang pegawai dan tiga anggota ke lokasi itu setelah menerima maklumat tentang lumba haram.


Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, bagaimanapun sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kesemua mat rempit itu bertindak melarikan diri.


Katanya, salah seorang daripada mereka telah merempuh Shahril dan mengakibatkan mangsa tercampak.


"Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan," katanya di sini hari ini.

Thursday, July 15, 2010

SUKAN ZON UTARA KALI KE 5 ( Terima kasih kepada admin Pvr Tanjung Malim)

TARIKH : 10 JULAI 2010
MASA : 10 PAGI
TEMPAT : AMPANG SUPER BOWL, IPOH PARADE








Kelihatan Asp/sp sanjiven KSPD PVR BALING, Sibuk mendaftar.

Monday, July 5, 2010

Masyarakat diseru bekerjasama tangani jenayah


Khalid Abu Bakar (kanan) menerima balai polis bergerak daripada Lee Yeow Chor di IOI Mall, Puchong, semalam.


SUBANG JAYA 4 Julai - Masyarakat tidak wajar menyalahkan polis jika berlaku kejadian jenayah, sebaliknya perlu memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan itu untuk membantu menangani masalah tersebut.


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis amat mengharapkan kerjasama masyarakat termasuk komuniti korporat untuk membantu memerangi jenayah.


Beliau berkata, kerjasama itu boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah, terlibat membantu dalam program kepolisan masyarakat, skim rondaan sukarela dan rukun tetangga.


Khalid percaya dengan adanya semangat dan kerjasama erat daripada masyarakat maka kejadian jenayah dapat dibendung.


"Saya menyeru seluruh masyarakat, tidak mengira komuniti penduduk atau korporat untuk bersama-sama dengan pihak polis dalam mencegah dan memerangi jenayah.


"Jenayah berlaku tidak mengira tempat dan masa, bangsa atau agama, status atau pangkat, kaya mahupun miskin," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan balai polis bergerak sumbangan IOI Properties Berhad kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di IOI Mall Puchong di sini hari ini.


Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.


Sementara itu, Khalid berkata, balai polis bergerak itu akan diberikan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk digunakan bagi tugas rondaan di kawasan perumahan dan komersial sekitar Bandar Puteri Puchong serta Bandar Puchong Jaya.


Katanya, balai polis bergerak yang merupakan sebuah van itu dilengkapi dengan komputer bagi membolehkan anggota bertugas menerima laporan daripada orang ramai.


Tambahnya, kenderaan itu juga akan digunakan oleh pegawai penyiasat untuk ke lokasi kejadian jenayah.

JPAM tambah 2,000 lagi anggota sebagai polis bantuan

RANTAU PANJANG 4 Julai - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan menambah 2,000 anggotanya untuk bertugas sebagai polis bantuan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bharu bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencegah kejadian jenayah di beberapa kawasan berisiko tinggi.


Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, ketika ini terdapat 1,000 anggota JPAM yang bertugas sebagai polis bantuan dan mensasarkan 3,000 orang keseluruhannya menjelang 2012.


Jelas beliau, anggota-anggota yang berkelayakan akan dihantar menjalani latihan dengan PDRM untuk memastikan mereka cukup bersedia memikul tugas yang diamanahkan.


"Saya telah menerima arahan daripada kerajaan untuk menambah jumlah anggota JPAM bertugas membantu PDRM dan itu tidak ada masalah kerana kita mempunyai jumlah yang cukup.


"Anggota ini nanti akan bertugas menggunakan pakaian seragam polis selepas tamat latihan cuma soal pembayaran (elaun) masih dibawah kelolaan JPAM," katanya.- Utusan

Related Posts with Thumbnails