Wednesday, June 23, 2010

Graduan Suksis bantu tingkat imej PDRM

KUALA LUMPUR 19 Jun - Mahasiswa yang menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) diyakini mampu membantu pasukan polis dalam melakukan penyelidikan dan kajian selain memperlengkapkan pasukan itu dengan data serta maklumat baru.


Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, ia kerana mahasiswa merupakan generasi yang memiliki idealisme dan berpengetahuan tinggi.


Titah baginda, jika sesi percambahan fikiran dapat dijadikan sebahagian dari komponen program Suksis, ia dapat memanfaatkan pasukan polis.


"Pemikiran dinamik dan radikal siswa-siswi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) wajar diterokai untuk membantu memberikan input dalam menambah baik usaha dan imej polis.

"Cetusan idea baru daripada golongan itu yang dihasilkan dari pemikiran kreatif membolehkan pasukan polis sentiasa berada di hadapan dalam menangani segala bentuk perubahan-perubahan," titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada istiadat perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan Suksis IPTA 2010 di padang kawat PALAPES, Universiti Malaya, di sini hari ini.


Pada majlis itu, seramai 1,023 mahasiswa mahasiswi dari 19 IPTA menerima sijil tamat latihan.

Titah baginda lagi, polis perlu peka dalam memastikan pasukan itu sentiasa cekap lagi berkesan, memiliki integriti, telus, jujur, amanah dan bebas daripada rasuah.


Baginda bertitah, polis juga perlu menjadi sebuah pasukan yang boleh dipercayai, dihormati dan bukannya ditakuti.


Titah baginda, polis abad ini tidak terkecuali dari menghadapi cabaran baru realiti dunia global seperti sistem komunikasi moden dan teknologi canggih serta dunia teknologi maklumat.


"Kemajuan teknologi turut mencetuskan budaya baru dan mempengaruhi corak ancaman jenayah. Ini termasuk pengganas dan penjenayah yang lebih ekstrem sifatnya selain memiliki rangkaian antarabangsa," titah baginda.


Dalam pada itu, baginda bertitah, kerjasama antara polis dengan media yang dilakukan dengan teratur, terancang dan proaktif boleh mengelak isu-isu yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi.


Titah baginda, program komunikasi yang berkesan perlu diamalkan agar dapat merapatkan jurang maklumat dan salah faham antara polis dan masyarakat umum.


"Usaha memerangi jenayah dipercayai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika masyarakat terlibat sama.


"Di samping menyampaikan mesej secara telus, jelas dan tepat, maklum balas dan pandangan masyarakat perlu dihargai supaya mereka akan dapat memahami, bersimpati dan terus bersama polis," titah baginda lagi.

Related Posts with Thumbnails