KAMPAR 14 Dis. - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas helikopter Robinson 44 (R-44) yang dipandunya secara solo terhempas dan terbakar di sebuah bekas lombong di Malim Nawar, hari ini.
Nahas yang berlaku berhampiran Estet Liang Kee di sini, pukul 2.15 petang itu, mengakibatkan Mohd. Sukri Osman, 31, mati di tempat kejadian apabila sebahagian tubuhnya dari paras pinggang ke atas melecur.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata, mangsa adalah antara salah seorang daripada lapan pegawai polis yang menjalani latihan di syarikat penerbangan swasta, Integrated Training and Services Sdn. Bhd., selama enam bulan sejak September lalu.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Pulau Pinang, sedang melakukan latihan pendaratan tempur secara solo dari pusat latihan penerbangan itu berpangkalan di Ipoh.
"Saya difahamkan Mohd. Sukri merupakan seorang pemandu helikopter berpengalaman kerana telah melakukan 35 jam penerbangan.
"Helikopter dipandu mangsa dikatakan mengalami masalah mekanikal. Polis menyerahkan kes itu kepada DCA (Jabatan Penerbangan Awam) untuk siasatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Sukri meninggalkan seorang anak dan isteri. Mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, seorang saksi, P. Chandrasegaran, 51, berkata, helikopter tersebut dilihat terbang rendah di kawasan bekas lombong berkenaan sebelum jatuh terhempas.
"Semasa kejadian saya sedang memandu lori membawa muatan pasir untuk dibawa keluar dari kawasan ini.
"Sebaik sahaja terhempas, helikopter itu terpelanting sejauh kira-kira 10 meter sebelum meletup dan terbakar," katanya.
Chandrasegaran yang terkejut melihat kejadian tersebut segera memaklumkannya kepada Balai Polis Malim Nawar berhampiran.