ALOR SETAR 14 Dis. - Polis menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa pasukan itu terlibat dalam mendedahkan rahsia sulit negara kepada sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang tohmahan yang dilemparkan kepada pihak polis.
"Biarlah orang nilai sendiri mengenai perkara ini (dedah maklumat) kerana kita adalah satu badan yang bertindak secara profesional.
"Sekarang kita (polis) tidak mahu terbabit dengan hal-hal orang lain dan hanya melakukan tugas berkaitan dengan polis," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada anggotanya yang menjadi mangsa banjir di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak yang membocorkan maklumat negara kepada WikiLeaks.
WikiLeaks adalah sebuah laman web yang memberi maklumat dalam pelbagai perkara termasuk yang diklasifikasikan sulit dan rahsia besar sesebuah negara atau organisasi.
Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya prihatin terhadap anggota polis terlibat dalam bencana banjir yang melanda negeri ini dan Perlis awal bulan lalu.
"Pihak kami telah mengumpulkan sumbangan lebih RM600,000 untuk diagih-agihkan kepada anggota PDRM yang menjadi mangsa banjir.
"Saya berharap dengan sumbangan diberikan, anggota polis yang terlibat dengan banjir kembali bersemangat untuk meneruskan tugas mereka," ujarnya.