Thursday, January 7, 2010

Rashidi ditahan di KL

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Selepas lebih 24 jam menjadi buruan polis kerana disyaki membunuh empat ahli keluarganya sendiri, seorang lelaki akhirnya ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di sini kira-kira pukul 4.05 petang ini.


Suspek, Rashidi Ismail, 34, yang diburu oleh Polis Negeri Sembilan dikesan oleh orang awam yang berada di stesen LRT itu yang ternampak gambarnya yang disiarkan dalam kebanyakan akhbar hari ini.


Orang ramai kemudian memaklumkan mengenai suspek itu kepada polis bantuan yang bertugas di stesen tersebut.


Bagaimanapun, sewaktu beberapa anggota polis bantuan RapidKL itu mahu memeriksa identiti suspek, lelaki itu bertindak ganas dan cuba menyerang anggota polis berkenaan menggunakan sebilah pisau yang dibawanya.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, berlaku pergelutan selama beberapa minit antara suspek dan anggota terbabit.


"Dengan bantuan beberapa anggota lain, suspek akhirnya berjaya ditahan. Tiada sebarang kecederaan dialami oleh anggota yang bergelut dengan suspek.


"Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas itu mengesahkan suspek dikehendaki polis berhubung kes pembunuhan di Gemencheh, Negeri Sembilan semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.