Thursday, January 7, 2010

Pembunuhan paling ngeri

TAMPIN 6 Jan. - "Sampai sekarang saya masih tidak dapat bayangkan bagaimana penderitaan mereka yang dibunuh dengan kejam," demikian kata Zaharah Atan sambil menyifatkan tragedi pembunuhan itu paling ngeri.


Zaharah, 59, merupakan isteri kepada Ismail, 76, yang dibunuh bersama ibu bapa Zaharah iaitu Sufiah Keatas, 80 dan Atan Daud, 90 di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, semalam.


Turut dibunuh ialah anak Zaharah, Siti Khadijah Ismail, 22, pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik di Politeknik Port Dickson.


Zaharah yang masih terkejut memberitahu, dia hanya mengetahui kejadian tersebut sebaik sahaja tiba di rumah selepas dijemput keluarga pada pukul 4.50 petang dari kilang tempat dia bekerja.


"Sepanjang perjalanan, tiada siapa yang beritahu apa yang berlaku. Sampai saja di rumah, baru saya sedar semua orang yang saya sayang telah dibunuh dengan kejam," katanya.


Dalam kejadian semalam, mayat Atan ditemui berlumuran darah dengan putus tangan kanan, manakala Sufiah putus tangan kiri.


Allahyarham Ismail pula ditemui dalam keadaan kepalanya terputus sementara mayat Siti Khadijah pula terdapat sebilah senjata tajam yang terpacak pada dadanya.


Zaharah yang ditemui pemberita di rumahnya di kampung itu hari ini memberitahu, arwah suaminya seorang yang baik.


"Cuma, sejak kebelakangan ini dia sering berleter dan sering menyebut ingin pulang ke kampungnya di Kelantan," katanya.


Dia juga tidak percaya kedua ibu bapa dan anak perempuannya turut menjadi mangsa pembunuhan itu.


"Setahu saya arwah ayah dan ibu tidak ada musuh. Mereka begitu disenangi oleh semua orang termasuk penduduk kampung.


"Arwah anak saya, Siti Khadijah pula sejak akhir-akhir ini begitu mesra dan rapat sekali dengan Siti Mariam (adiknya). Mereka selalu memasak bersama di dapur," katanya sebak.


Ditanya mengenai anak lelakinya iaitu Rashidi, 34, yang kini ditahan polis bagi membantu siasatan, Zaharah berkata dia tidak percaya anaknya boleh bertindak sedemikian kerana dia seorang yang baik .


Sementara itu, Siti Mariam Ismail, 19, yang menemui kesemua mayat keluarganya itu berkata, dia berasa pelik kerana tidak mendengar sepatah suara ahli keluarganya selepas pulang dari sekolah.


"Selepas menukar pakaian, saya pergi ke ruang tamu dan ternampak arwah kakak (Siti Khadijah) sedang terbaring. Apabila dihampiri, saya dapati sebilah pisau terpacak di dadanya.


"Saya kemudian berlari ke rumah datuk di sebelah dan sekali lagi terkejut apabila melihat datuk, nenek dan ayah saya juga sudah meninggal dan keadaan mereka sungguh menyayat hati," katanya sambil menangis teresak-esak.


Siti Mariam merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Dato' Taha, Gemencheh memberitahu, abangnya, Rashidi tiada di rumah semasa itu, dan kali terakhir mereka bertemu ialah malam sebelum kejadian.


"Abang saya tiada masalah dengan keluarga. Cuma dia (Rashidi) sudah putus tunang sebanyak dua kali dan ketika ini tidak bekerja," katanya.


Katanya, dia amat sedih dengan apa yang berlaku dan masih terbayang wajah mereka yang terbujur kaku.