Monday, January 11, 2010

Mahmood dilantik SAC I Kehormat PDRM

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menganugerahkan pangkat Senior Asisten Komisioner I (SAC I) Kehormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam.


Langkah itu bagi memudahkan Mahmood yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berurusan dengan polis bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).


Sijil watikah pelantikan itu disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada Majlis Seminar Inovasi dan Kualiti di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar selain pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua polis negeri.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mahu pengurangan sebanyak 20 peratus jenayah jalanan pada penghujung 2010 sebagai salah satu teras NKRA.


Musa berkata, pelantikan Mahmood itu dilakukan selepas KDN bersetuju dengan cadangan polis supaya JPAM dan Rela diwujudkan ‘bapa’.


“JPAM dan Rela sentiasa berganding bahu dengan polis untuk menjaga kawasan `panas’, oleh itu tidak salah jika kita memantapkan perhubungan ini dengan melantik Mahmood sebagai ‘bapa’ mereka.


“Melalui pelantikan ini, Mahmood dapat turun padang, berbincang sendiri dengan ketua-ketua polis daerah untuk mengurangkan jenayah,” katanya selepas menyerahkan pelantikan itu di Maktab PDRM Cheras di sini pagi ini.


Musa memberitahu, penghormatan diberikan kepada Mahmood adalah yang pertama kali diberikan oleh PDRM.


Katanya, dengan pelantikan itu beliau percaya hasrat untuk menurunkan indeks jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


“Cara ini juga akan memudahkan kerjasama antara tiga pihak itu selain merangka langkah baru untuk mencegah jenayah,” ujarnya.