Monday, January 11, 2010

Jangan timbulkan kekecohan

SEREMBAN 10 Jan. – Polis menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak menimbulkan kekecohan ekoran insiden serangan terhadap rumah ibadat sejak kelmarin.


Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di kalangan masyarakat setempat.


“Kita memandang serius perkara itu dan polis akan mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang cuba menimbulkan kekecohan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Osman berkata, pihaknya juga akan mempertingkatkan kawalan di gereja-gereja di negeri ini agar insiden seumpamanya dapat dibanteras.


“Keadaan di Negeri Sembilan masih tenteram serta terkawal dan pihak kami tidak menerima sebarang laporan berhubung sebarang serangan di rumah ibadat.


“Bagaimanapun, polis tetap meningkatkan kawalan di kawasan berkenaan seperti yang diarahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan,” ujarnya.