Monday, January 28, 2013

Anggota polis menyamar jadi mat rempit


BALING  -  Tindakan anggota polis menyamar sebagai mat rempit membuahkan hasil setelah berjaya menahan 13 motosikal selain mengeluarkan 19 saman kepada remaja  berusia lingkungan 15 sehingga 18 tahun sempena Ops Ambang Merdeka awal pagi kelmarin.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali itu disertai oleh 20 anggota polis yang menggunakan motosikal.

Tindakan itu berjaya mengesan tempat lepak mat rempit yang cuba menimbulkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, semua remaja terbabit melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tidak mengenakan topi keledar, cukai jalan tamat tempoh termasuk mengubah suai motosikal.

Hasil pemeriksaan juga mendapati, beberapa remaja terbabit terlibat dalam penyalahgunaan dadah, perlakuan jenayah termasuk membawa mercun.

Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu melibatkan beberapa kawasan panas terutama di kawasan Batu 42, Pulai yang sering dijadikan tempat untuk berlumba selain menunjukkan aksi yang berbahaya.

“Hasil intipan dan strategi yang digunakan, kebanyakan remaja terbabit tidak dapat melarikan diri setelah dikepung oleh anggota polis yang bertugas,” katanya ketika ditemui di Batu 42 Pulai, kelmarin.

Semua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Baling dan operasi berakhir padan jam 4 pagi.