KANGAR, 8 Nov — Penyertaan kaum Cina dalam pasukan sukarelawan
simpanan polis (PVR) masih kecil walaupun ruang begitu luas untuk mereka
menyertainya, kata Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron hari ini.
Menurutnya, ketika proses temuduga pengambilan PVR Perlis bulan lalu, hanya tiga daripada 920 calon terdiri daripada kaum Cina.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan
kira-kira 100 pemimpin daripada sepuluh persatuan komuniti Cina seluruh
Perlis di sini hari ini.
Perlis akan membuat pengambilan sebanyak 200 anggota PVR dalam tempoh terdekat bagi memantapkan lagi usaha menangani jenayah.
Zull Aznam berkata, peratusan keanggotaan kaum Cina sebagai pegawai
dan anggota tetap dalam pasukan polis juga masih kecil dan daripada
hampir 1,800 pegawai dan anggota polis di Perlis hanya 21 orang terdiri
daripada kaum itu.
Mengenai kadar jenayah di Perlis, Zull Aznam berkata, keadaan adalah
terkawal walaupun terdapat peningkatan kes mendatangkan kecederaan
antara Januari dan Oktober tahun ini.
Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 66 kes mendatangkan kecederaan
dilaporkan berbanding 59 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi jenayah seksual terdapat penurunan dengan 37 kes dilaporkan
sehingga Oktober lalu berbanding 42 kes bagi tempoh yang sama tahun
lalu. — Bernama