Wednesday, May 16, 2012

Bersalah halang tugas polis


KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan sabitan ke atas seorang aktivis sosial berhubung rayuan pengguguran hukuman 12 bulan penjara akibat kesalahan menghalang tugas penjawat awam, tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah, bagaimanapun mengurangkan hukuman itu kepada tiga bulan penjara berkuat kuasa dari tarikh, Ahmad Sauqey Abdul Ghani, 36, dihukum pada peringkat Mahkamah Majistret di sini, Mac lalu.

Ahmad Sauqey kekal bersalah pada tuduhan menghalang Lans Koperal, Mohd Fairuz Mohd Hassan kerana enggan bekerjasama menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu ketika diminta pada sekatan jalan raya, di jalan Kampung Wakaf Aik menghala ke Pengkalan Datu, Tawang, Bachok antara jam 1.15 dan 1.51 petang, 20 Jun tahun lalu.

Tertuduh yang berbaju banduan merah diwakili peguam bela, Akhbar Saifuddin dan pihak pendakwa diwakili, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob.

Peserta bantu polis tersepit


PETALING JAYA – Insiden kereta pegawai penyiasat polis diterbalikkan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu bukan disengajakan.

Seorang aktivis, Saiful Mokhtar, 33, mengakui dia yang berada di lokasi kejadian dapat mendengar dengan jelas beberapa orang mengarahkan kereta polis itu diterbalikkan kerana kononnya ada mangsa yang tersepit di dalamnya.

“Mereka yang mengangkat kereta itu terdiri daripada 10 hingga 15 orang rata-ratanya berniat mahu menyelamatkan mangsa yang mungkin tersepit di bawah kereta dan bukan sengaja untuk membalas dendam terhadap anggota polis.

“Dalam keadaan kelam kabut kami cuba mengawal situasi namun terdapat dua atau tiga orang (bukan berpakaian kuning) bertindak menjerit dan cuba melakukan keganasan melampau malah kami cuba menghalang dan turut membelasah seorang daripada mereka yang cuba melarikan beg dari kereta polis itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, rakaman keseluruhan kejadian dirakam oleh sebuah TV Web dan dia sendiri turut mempunyai salinan rakaman itu.

“Kami sendiri yang mengeluarkan dan menyelamatkan anggota polis daripada menjadi mangsa ganas individu terbabit yang berterusan masih mahu melakukan provokasi meskipun ramai yang cuba meleraikannya.

“Saya juga hairan kerana rata-rata yang melakukan provokasi melampau dan mengajak supaya memukul anggota polis terdiri daripada mereka yang berpakaian biasa dan apa yang berlaku ketika itu amat pelik malah saya sendiri juga tidak sempat untuk menghalang salah seorang mereka daripada menendang beberapa motosikal anggota trafik yang diletakan dibahu jalan beberapa meter di lokasi sama,” katanya.

Saiful berkata, turut menimbulkan persoalan insiden yang berlaku seolah-olah dirancang kerana visual yang dirakamkan sebuah stesen TV diambil dari tingkat atas sebuah lagi pusat membeli-belah.

10 NGO di Baling mahu kerakyatan Ambiga dilucutkan

BALING - Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Baling hari ini mendesak kerajaan melucutkan kerakyatan Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga dan menarik balik semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 500 orang, antaranya mewakili Perkasa, Majlis Belia Malaysia (MAYC), JKKP Baling, Persatuan Siam Baling, Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida), Persatuan Wanita dan Kaum Ibu Baling, Puteri Umno serta peniaga Melayu Pekan Baling berikrar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta institusi polis.

Pengerusi Bantahan Bersih daerah Baling, Othman Mohd Nor, 47, berkata penduduk Baling tidak sanggup melihat keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 28 April lepas yang jelas diperalatkan pemimpin berfahaman komunis dan pengaruh Yahudi.

"Penduduk Baling mampu mengadakan bantahan lebih besar selepas ini sekiranya penyokong parti pembangkang merancang mengadakan Bersih 4.0 pula," katanya
kepada pemberita di sini.

Pengerusi Perkasa Baling, Wan Mahmud Wan Ibrahim, 69, berkata Perkasa kecewa dengan keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan Bersih itu yang jelas
didalangi anasir yang hendak menghancurkan negara.

Sebagai menunjukkan kemarahan, mereka membakar patung Anwar dan Ambiga. - Bernama

Pemuda gagal sertai polis kerana telinga besar


BALING - Hasrat seorang anak muda untuk menyertai pasukan polis tidak tercapai apabila panel ujian fizikal bagi jawatan konstabel mendakwa telinganya besar dan tangannya bengkok.

Kamarudin Osman, 19, dari Desa Bidara, Kuala Ketil terkilan selepas gagal mengikuti ujian fizikal lain apabila fizikal badannya dikatakan tidak memenuhi syarat diperlukan.

“Saya tidak rasa telinga saya besar. Saya betul-betul berminat untuk menyertai pasukan polis. Bagi saya, minat dan komitmen itu lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Bekas kadet polis Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri selama tiga tahun itu pernah mengikuti latihan menembak ketika di bangku sekolah.

“Saya terlalu meminati bidang kepolisan. Saya pernah ponteng sekolah untuk menghadiri kursus menembak. Saya tahu, perkara itu salah, tetapi minat saya mengatasi segalanya,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Kamarudin, yang memiliki ketinggian 172 sentimeter, mempunyai kesihatan yang baik selain aktif dalam bidang sukan ketika di bangku sekolah.

Menurutnya, panel pemilihan hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit menilainya sebelum mengatakan dia gagal untuk meneruskan ujian seterusnya.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tetapi saya agak terkilan kerana tidak dapat meneruskan ujian seterusnya gara-gara dikatakan mempunyai telinga besar.

“Siapa yang inginkan telinganya besar, itu adalah takdir Tuhan. Tinggi, berat badan, ukur lilit dada dan pernafasan saya mengikut syarat yang ditetapkan, tetapi masih gagal meneruskan ujian lanjut," katanya lagi.

Katanya, panel penilai itu turut menasihatinya memohon semula untuk menduduki ujian berkenaan.

“Apa salahnya saya diberikan peluang dan membuktikan yang saya mampu untuk menjadi seorang anggota polis,” katanya kepada kepada Sinar Harian.

Kamarudin berharap sempena Hari Polis ke-205 ini, pihak terbabit dapat mempertimbangkan hasratnya.

“Saya kagum melihat disiplin dan komitmen anggota polis menjalankan setiap tugas mereka. Justeru, saya amat berharap, dapat menjadi salah seorang daripada anggota keselamatan ini.

“Sejak kecil saya meminati bidang kepolisan ini. Saya yakin mampu melakukan yang terbaik sekiranya diberikan peluang ini,” katanya yang nekad untuk terus memohon menyertai bidang berkenaan.

AL-FATIHAH KEPADA ALLAHYARHAM KPL SP 12757 ISMAIL BIN JUSOH TELAH KEMBALI KERAHMATULLAH PADA 15/05/2012






ALFATIHAH KEPADA ALLAHYARHAM KPL SP 12757 ISMAIL BIN JUSOH TELAH KEMBALI KERAHMATULLAH PADA 15/05/2012 JAM 5.25 PAGI. MOGA ROHNYA DITEMPATKAN DIKALANGAN ORANG2 YANG SOLEH. AMIN.