BALING - Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Baling hari ini mendesak kerajaan melucutkan kerakyatan Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga dan menarik balik semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seramai 500 orang, antaranya mewakili Perkasa, Majlis Belia Malaysia (MAYC), JKKP Baling, Persatuan Siam Baling, Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida), Persatuan Wanita dan Kaum Ibu Baling, Puteri Umno serta peniaga Melayu Pekan Baling berikrar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta institusi polis.
Pengerusi Bantahan Bersih daerah Baling, Othman Mohd Nor, 47, berkata penduduk Baling tidak sanggup melihat keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 28 April lepas yang jelas diperalatkan pemimpin berfahaman komunis dan pengaruh Yahudi.
"Penduduk Baling mampu mengadakan bantahan lebih besar selepas ini sekiranya penyokong parti pembangkang merancang mengadakan Bersih 4.0 pula," katanya
kepada pemberita di sini.
Pengerusi Perkasa Baling, Wan Mahmud Wan Ibrahim, 69, berkata Perkasa kecewa dengan keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan Bersih itu yang jelas
didalangi anasir yang hendak menghancurkan negara.
Sebagai menunjukkan kemarahan, mereka membakar patung Anwar dan Ambiga. - Bernama