Thursday, April 12, 2012

Pengambilan Rela untuk diserap dalam PVR dihentikan serta-merta

KUALA LUMPUR 9 April — Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan pengambilan pegawai dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk diserapkan sebagai Polis Simpanan Sukarelawan (PVR) dihentikan serta-merta.


Ini kerana jumlah pengambilan anggota PVR sudah mencukupi bagi menjalankan tugas mengawal keselamatan termasuk rondaan cegah jenayah.


“Jumlah keanggotaan unit berkenaan ketika ini sudah mencecah kuota iaitu seramai 5,000 orang, yang dianggap memadai sebagai kumpulan sokongan kepada pegawai dan anggota polis bertugas di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini.


Terdahulu, Ismail menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusof.


Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan PVR di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara sebagai langkah membantu polis memerangi jenayah jalanan.


Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan PDRM menarik balik seragam polis yang dibekalkan kepada pegawai dan anggota Rela yang diserapkan ke PVR susulan beberapa insiden salah guna kuasa membabitkan mereka.