Sunday, January 8, 2012

Anggota PVR digesa fahami tanggungjawab

GEORGETOWN: Anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) digesa memahami tugas dan kuasa sebenar sebagai seorang anggota PVR dalam memastikan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak tercemar.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata gesaan itu dibuat bagi memastikan tindakan dan kelakuan setiap anggota PVR itu tidak tersasar, malah mewujudkan keamanan dan ketenteraman awam dalam masyarakat.


Beliau berkata, setiap anggota PVR juga perlu mempelajari sistem kepolisian terkini bagi membendung dan menangani kejadian jenayah selain bersikap lebih terbuka dalam melaksanakan tugas kepolisian.

Katanya, kaedah itu mampu mengurangkan kadar jenayah sekali gus usaha mencapai jenayah sifar akan tercapai.


“Saya yakin pegawai dan anggota PVR mampu merealisasikan hasrat ini kerana mereka sudah dilatih dan ada pengetahuan untuk menjalankan tugas harian kepolisian.


“Tugas seorang anggota PVR adalah satu kerjaya mulia dan secara tidak langsung mampu membantu serta meringankan beban tugas selain menjadi mata dan telinga PDRM,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas 39 Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis Pulau Pinang Skuad 1/2010 di Pangkalan Polis Marin Wilayah (1) Batu Uban, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nasir Salleh dan Pemangku Komander PVR negeri, Asisten Superintendan Wan Putra Wan Hussien.