Sunday, February 27, 2011

Sukarelawan PDRM banyak bantu pihak berkuasa banteras jenayah

KOTA BHARU 21 Jan. - Kewujudan pasukan sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat banyak membantu pihak berkuasa di negeri ini membanteras jenayah terutama yang melibatkan jenayah jalanan.


Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk meningkatkan fungsi dan peranannya agar lebih efektif melalui penglibatan setiap anggota yang fokus dan peka dengan situasi jenayah setempat.


Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supritendan Muhamad Hanifah Abd. Malek berkata, sesuai dengan peranan pasukan sukarelawan PDRM membantu melancarkan aktiviti pencegahan jenayah, golongan tersebut digesa sentiasa peka dengan persekitaran.

"Peranan sukarelawan PDRM amat penting untuk menjayakan matlamat menurunkan kadar jenayah. Namun perlu diingatkan, mereka mesti sentiasa peka dengan jenayah setempat melalui strategi yang berkesan.


"Kejayaan tersebut juga bersandarkan kepada pelaksanaan waktu yang tepat dan pengawasan berpanjangan kerana apa yang dipraktikkan selama ini masih ada ruang untuk kita sama-sama perbaiki," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Serah Terima Tugas Komander Sukarelawan PDRM Kontinjen Kelantan di sini hari ini.


Muhamad Hanifah turut hadir sebagai saksi penyerahan tugas Deputi Supritendan (Sukarelawan Polis) Nik Zahari Nik Aman kepada Asisten Supritendan (Sukarelawan Polis) Mohamed Ashri Yusof yang dilantik memangku sementara jawatan tersebut.


Seramai 150 pegawai dan anggota dari seluruh Kelantan hadir pada majlis yang dimulakan dengan kawad perbarisan diikuti dengan pemeriksaan barisan oleh Komander Sukarelawan PDRM.


Sementara itu, Nik Zahari yang bersara hari ini dalam ucapannya meninggalkan amanat kepada semua anggota sukarelawan agar jujur dan telus melaksanakan tugas.


"Hampir 24 tahun menyertai Sukarelawan PDRM banyak cabaran yang saya tempuhi termasuk berhadapan dengan kerenah anggota untuk menguji tahap ketahanan mental sama ada boleh dipengaruhi dengan kebendaan dan mengikut acuan yang mereka sediakan.


"Namun jika kita jujur dan mengutamakan tugasan, apa juga halangan boleh diatasi dan paling utama menghormati tugas sepasukan dan sentiasa ikhlas dengan amanah yang dipertanggungjawabkan," ujarnya.