Sunday, August 15, 2010

Mahasiswa rakan polis

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my


DEMONsTRASI tempur dan menumpaskan penjenayah pada program Kepolisan Masyarakat 1Mahasiswa di UiTM Johor Cawangan Segamat di Segamat, Johor, baru-baru ini.

SEGAMAT 13 Ogos - Usaha pencegahan jenayah bukan sahaja terletak di bahu pihak keselamatan, malah turut menjadi peranan segenap lapisan masyarakat.

Justeru, pelbagai pihak menganjurkan program untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan perkara itu turut ditekankan pada Program Kepolisan Masyarakat 1Mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat di sini baru-baru ini.

Program yang julung kali dianjurkan itu bertujuan menanam kesedaran di kalangan mahasiswa untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian kerjasama polis dengan masyarakat di samping menjadi contoh terbaik kepada golongan remaja.

Program tersebut dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. Turut hadir Pemangku Pengarah UiTM Johor, Prof. Madya Yusri Ismail serta Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali.

Mohd. Mokhtar dalam ucapannya yakin pendekatan komuniti kepolisan yang melibatkan golongan mahasiswa mampu membantu mengelakkan golongan berkenaan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti jenayah.

"Kesepaduan antara polis dan masyarakat ibarat 'aur dengan tebing' dan kerjasama erat ini akan menggerunkan penjenayah untuk memporak-perandakan keselamatan setempat.

"Harapan kami supaya mahasiswa dapat belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya menjadi contoh serta ikutan terbaik dalam masyarakat," katanya.

Beliau turut memuji inisiatif UiTM Johor menganjurkan program berkenaan bagi merapatkan lagi kerjasama antara polis dengan masyarakat.

Pada program berkenaan mahasiswa universiti itu didedahkan dengan pelbagai konsep pencegahan jenayah selain dipertontonkan dengan demonstrasi kecekapan polis trafik mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, demonstrasi penggunaan T-Baton serta Unit Anjing.

Unit Udara polis turut mengadakan pertunjukan selain persembahan pancaragam UiTM serta tarian 1Malaysia oleh penuntut universiti berkenaan.

Sementara itu, Yusri berkata, jalinan kerjasama diwujudkan dalam program kepolisan masyarakat merupakan mekanisme berkesan bagi membanteras jenayah secara lebih efisien.

"Mahasiswa juga boleh berperanan dalam membantu pihak polis menangani sebarang kegiatan jenayah.

Sebagai individu yang berpendidikan tinggi, mereka perlu mempunyai ketrampilan diri yang jitu serta menjadi contoh kepada masyarakat," katanya.

Beliau percaya mahasiswa boleh memainkan peranan penting untuk memastikan rakan sebaya tidak terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah atau aktiviti tidak bermoral.

"Marilah kita bersama-sama menunaikan tanggungjawab sosial ini agar matlamat membentuk negara bangsa yang bebas masalah sosial dan bertamadun akan dapat dicapai dengan jayanya," katanya.