Tuesday, August 10, 2010

Hanya sukarelawan polis dapat kenaikan elaun

KUALA LUMPUR: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjelaskan kenaikan elaun 50 peratus mulai tahun depan seperti dilaporkan akhbar hanya dinikmati sukarelawan polis (PVR).


JPAM dalam satu kenyataannya berkata, 1,041 anggota dan pegawai bakal menikmati kenaikan elaun itu selaras objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memerangi jenayah jalanan.


Akhbar semalam melaporkan sukarelawan khususnya di JPAM dapat kenaikan elaun 50 peratus mulai tahun depan.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, dilaporkan berkata sukarelawan itu menerima kenaikan elaun baru daripada RM4 kepada RM6 sejam, manakala bagi kategori pegawai kenaikannya daripada RM5.80 sejam kepada RM8.70 sejam.


Beliau berkata, kertas kerja mengenai kenaikan elaun berkenaan sedang dalam penilaian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.