Wednesday, April 7, 2010

Jangan pertikai gaji polis naik

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kenaikan gaji anggota polis pada Sambutan Hari Polis Ke-203 yang lalu, kedengaran suara dan luahan tidak puas hati daripada beberapa pihak mengenai kenaikan tersebut terutamanya daripada badan- badan beruniform yang lain.


Saya bukan anggota polis atau anak kepada anggota polis. Tetapi daripada pemerhatian dan pengamatan saya, kenaikan kadar gaji tersebut memang wajar. Kenaikan kadar gaji tersebut ada asasnya seiring persekitaran tugas polis pada hari ini.


Anggota polis sentiasa terdedah dengan rasuah ketika menjalankan tugas dan ketika melaksanakan pelbagai tugas yang diamanahkan kepada mereka. Dengan kenaikan kadar gaji ini, diharapkan ia akan menghindarkan anggota polis daripada terlibat dengan gejala tersebut.


Bagi anggota yang bertugas di bahagian rondaan dan cawangan kereta peronda, mereka merupakan golongan yang berisiko kerana merekalah orang pertama tiba di lokasi jenayah.


Mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi seperti orang mengamuk menggunakan senjata, rompakan bersenjata dan lain-lain lagi.


Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap mereka, sekurang-kurangnya dengan kenaikan kadar gaji tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung ahli keluarga mereka.


Harus diingat, kerana rondaan dan pengawasan daripada pihak polis jugalah yang membuatkan kita semua lena tidur pada setiap malam.


Saya bukan menafikan peranan badan beruniform yang lain, tetapi mereka dilihat lebih kepada situasi standby dan kawalan, berbanding anggota polis yang sentiasa berhadapan dengan situasi luar jangkaan ketika meronda.


Menurut Akta Polis juga, semua anggota sememangnya dianggap bertugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tidak mengira siang atau malam dan situasi cuaca. Jika sedang bercuti bersama keluarga sekalipun, apabila terdapat kes-kes tertentu mereka tetap akan dipanggil bertugas. Ini menuntut pengorbanan yang tinggi, justeru penghargaan yang setimpal wajar diberikan.


Kenaikan gaji polis yang diumumkan juga mempunyai hikmahnya tersendiri kerana kita semua mungkin pernah terdengar pelbagai pandangan serong yang dilemparkan masyarakat terhadap pihak polis ketika mereka menjalankan tugas. Apabila mereka semua bertugas dengan penuh berintegriti, segala pandangan serong tersebut terbalas dengan kenaikan gaji yang tidak disangka-sangka ini.


Pihak kerajaan juga telah mengumumkan bahawa syarat lantikan bagi jawatan inspektor akan dipertingkatkan yang mana memerlukan seseorang memiliki ijazah berbanding diploma atau STPM sebelum ini. Ini semua mencerminkan tahap profesionalisme di dalam pasukan polis.


Bagi sesiapa yang mempertikaikan kenaikan kadar gaji pegawai dan anggota polis, bukalah mata seluas-luasnya dan renungkanlah segala pengorbanan yang telah dan akan dilakukan oleh pihak polis dalam usaha memastikan ketenteraman dan keamanan Malaysia terus terbela.


Kerajaan tidak sesekali akan membuat sesuatu keputusan seperti pengumuman kenaikan kadar gaji ini tanpa membuat kajian terperinci terlebih dahulu.


Buat Tan Sri Musa Hassan, jutaan tahniah kerana telah berjaya menerajui kepimpinan PDRM dengan jayanya. Pasukan polis juga dilihat lebih bertenaga dan profesional sejak di bawah pimpinan Tan Sri.


PUTERA SINTOK 87

Kangar, Perlis