Sunday, March 28, 2010

PDRM akan ambil pegawai inspektor berkelulusan ijazah

26/03/2010 2:39pm

KUALA LUMPUR 26 Mac – Penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja melibatkan penambahan anggota baru malah dicadangkan agar anggota berpangkat inspektor diambil daripada mereka yang mempunyai ijazah tidak lama lagi.


Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berkata, jika cadangan itu diluluskan oleh kerajaan, PDRM akan menghentikan pengambilan pegawai bagi jawatan Asisten Superintenden Polis (ASP) dan Asisten Komisioner Polis (ACP).


"Jika pegawai yang berpangkat ACP ke atas harus memiliki ijazah, pegawai yang berpangkat inspektor ke atas juga tidak lama lagi perlu memiliki ijazah dan ini sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan modal insan.


"Kita perlu sentiasa melatih pegawai dan anggota yang sedia ada supaya apabila mereka pencen nanti, mereka akan pencen pada jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan asal mereka,” katanya.


Beliau berkata ini adalah salah satu cara pemodenan pasukan polis di samping meningkatkan profesionalisme PDRM dan memantapkan lagi pasukan supaya ia seiring dengan peredaran zaman sejajar dengan usia 203 tahun PDRM. – Bernama