PADANG BESAR: Seorang Mat Rempit berusia 15 tahun yang melarikan diri selepas melanggar seorang anggota polis ditahan sejurus menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, malam kelmarin.
Polis yang mengiringi anggotanya yang cedera parah menerima rawatan di HTF, terserempak dan menahan pelajar berkenaan ketika suspek selesai mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital, dua jam selepas kemalangan itu.
Konstabel Mohd Azlan Selamat, 24, cedera di kaki kanan, tangan dan muka selepas dilanggar seorang daripada tiga penunggang motosikal yang terbabit lumba haram di Kilometer 32, Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, jam 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata Mohd Azlan, dari Balai Polis Kaki Bukit, dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di sebuah wad di HTF.
Katanya, ketika kejadian Mohd Azlan bersama seorang rakan setugas yang menaiki motosikal terserempak tiga pemuda berlumba haram.
“Mangsa mengarahkan tiga penunggang berkenaan berhenti, tetapi mereka enggan manakala seorang daripadanya didapati pelajar bawah umur melanggarnya.
“Mohd Azlan terpelanting di tepi jalan raya selepas dilanggar manakala suspek yang menunggang motosikal tanpa memasang lampu dan memakai topi keledar, turut terjatuh, tetapi berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di situ.
“Seorang anggota kami memaklumkan kejadian ke balai berhampiran sebelum membawa mangsa ke HTF untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, ketika menunggu Mohd Azlan menerima rawatan, beberapa anggota terserempak seorang pelajar yang cedera dan turut mendapatkan rawatan di hospital sama dan selepas siasatan, pihaknya mendapati dia suspek yang melarikan diri selepas melanggar anggota polis berkenaan.
Che Man berkata, berikutan penahanan pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, pihaknya menahan dua lagi rakannya di rumah masing-masing di sebuah tanah rancangan di Padang Besar, malam kelmarin.
“Pelajar yang juga anak peneroka itu belum memiliki lesen memandu kerana masih bawah umur manakala dua rakannya berusia 18 dan 19 tahun bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh getah di tanah rancangan itu.
“Ketiga-tiga mereka melakukan pelbagai aksi sambil berlumba di jalan raya. Pelajar terbabit dibebaskan selepas diambil keterangan manakala dua rakannya masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.