Thursday, February 18, 2010

Kerajaan tidak cadang bubar, serap Polis Marin

PUTRAJAYA 17 Feb. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kerajaan tidak bercadang membubarkan pasukan Polis Marin atau menyerapkannya dalam mana-mana agensi.


Sebaliknya, kata beliau, sebarang perubahan mengenai pasukan itu perlu dilihat dalam konteks penstrukturan semula unit-unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara menyeluruh.


"Polis Marin masih mempunyai peranannya, kita bukan hendak serap atau bubar tetapi hendak pastikan tiada pertindihan.


"Apabila sudah tahu semua ada tanggungjawab masing-masing, maka kita bergerak sebagai satu pasukan, bermakna tiada pembaziran dan kita tahu sasarannya," katanya.


Beliau bercakap demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementerian di sini hari ini.


Pada 9 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah menyerapkan anggota serta aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bertujuan memperkasakan agensi itu.


Kenyataan itu mendapat reaksi seorang pembaca Utusan Malaysia yang mempersoalkan usaha menyerapkan Polis Marin ke dalam APMM.


Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, Zulkifli Abdul Rahman dari Shah Alam menulis, jika penyerapan itu berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.


Justeru, katanya, bagaimana APMM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru saja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin yang telah wujud lebih 60 tahun?


Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.


Hishammuddin berkata, ini adalah masa paling sesuai semua pihak tidak bersikap emosi sebaliknya menilai secara realistik terhadap kekuatan dan kelemahan pasukan Polis Marin.


"Kita tidak mahu lihat pembaziran dan pertindihan malah jauh sekali tidak menepati sasaran serta matlamat sesuatu unit diwujudkan," katanya.