Sunday, February 21, 2010

Anggota polis, guru antara positif dadah

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Seorang anggota polis dan guru adalah antara 44 orang yang ditahan kerana memiliki dan didapati positif dadah ketika sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak diserbu awal hari ini.


Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim itu ditahan kerana positif dadah manakala tiga lagi rakannya yang juga anggota polis turut ditahan kerana berada di pusat itu.


Operasi kira-kira pukul 4.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh DSP Aida Abdul Hamid menyerbu pusat hiburan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat, Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim berjaya menahan 44 orang termasuk 14 wanita kerana positif dadah jenis syabu, ecstacy dan ketamin.


Menurut sumber polis, guru berusia 27 tahun dari Sekolah Kebangsaan Trolak itu ditahan kerana memiliki dadah ecstacy.


Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki termasuk pengurus pusat hiburan tersebut kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat terbabit.


Polis juga mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah bertujuan untuk digunakan semasa serbuan dibuat.


Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Slim River untuk tindakan lanjut dan bagi pengunjung yang disahkan positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala pengunjung yang ditahan kerana memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B akta yang sama.


Menurut sumber itu, serbuan yang berakhir kira-kira pukul 7 pagi itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kewujudan pusat hiburan yang beroperasi sehingga pukul 7 pagi setiap hari dan menganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar serta dibuka berhampiran dengan Masjid Behrang.


Pusat hiburan itu juga sebelum ini dikatakan pernah diserbu dua kali oleh polis dari IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lepas dan berjaya menahan tiga pengunjung yang disahkan positif dadah. - BERNAMA