Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sedang merangka strategi khusus untuk membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini.
Pegawainya, Seah Ai Khuan berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya setiap agensi terutamanya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memainkan peranan masing-masing secara lebih berkesan.
Menurutnya, selain Pulau Pinang, AADK di tiga negeri lain iaitu Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor turut bergerak aktif bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.
''AADK di SPT akan bergerak dengan lebih aktif pada tahun ini bagi memastikan sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti samun, samun berkumpulan, ragut dan mat rempit berkurangan sebanyak 20 peratus.
''Tumpuan diberi khususnya dalam pelanggaran syarat perintah pengawasan. Mereka ini akan dicari dan dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi syarat melalui Operasi Mutiara Bersepadu yang dijalankan bersama polis," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, Operasi Mutiara Bersepadu yang dijalankan mulai 27 Januari lalu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka yang ingkar arahan akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Katanya, dari 27 hingga 29 Januari lalu, sebanyak lapan tangkapan berjaya dibuat di sekitar SPT dan tiga sudah dituduh di mahkamah manakala lima yang lain masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, Ai Khuan memberitahu, sebanyak 1,324 kes pengawasan berjaya direkodkan di daerah SPT sepanjang Januari lalu dan rata-rata membabitkan kes penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, AADK mengadakan operasi seminggu sekali bertujuan memburu dan menahan penagih di samping operasi bersepadu bersama polis.
''Mereka yang terlibat dengan kes pengawasan ini akan terlibat dalam program yang dianjurkan AADK bagi membolehkan mereka dibimbing agar tidak mengulangi tabiat lama.
''Setakat ini, jumlah kehadiran bagi setiap program amat menggalakkan dan kita cukup serius dalam hal ini kerana kita akan pergi ke rumah jika mereka gagal menghadirkan diri," tegasnya.
Menurutnya, masyarakat perlu tampil memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing agar tindakan lanjut dapat dilakukan.