Wednesday, January 20, 2010

Rakyat makin yakin tahap keselamatan

PULAU PINANG 19 Jan. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan di negara ini semakin pulih, kata Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop.


Beliau berkata, ia berdasarkan maklum balas yang diterima serta pencapaian oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dalam menangani perkara itu.


Pada masa sama, katanya, usaha PDRM menggerakkan pelbagai pendekatan bagi mencapai sasaran itu seperti mewujudkan komuniti kepolisan, sekali gus dapat merapatkan hubungan antara polis dan rakyat.


“Kita ambil Pulau Pinang sebagai contoh, sepanjang 1 hingga 16 Januari tahun ini statistik jenayah secara keseluruhan mencatatkan -19.9 peratus manakala jenayah kekerasan pula -26 peratus.


“Ini satu pencapaian yang baik telah ditunjukkan oleh Pulau Pinang yang menjadi salah satu negeri yang terlibat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan salah satu kawasan 'panas' di Pulau Pinang iaitu di Pasar Chowrasta di sini hari ini.


Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tunku Said.


Abu Seman turut tidak dinafikan publisiti meluas sesetengah pihak berhubung perkara tersebut juga menjadi penyumbang kepada persepsi tidak baik orang ramai.


Namun, beliau berkata, hakikatnya, masalah jenayah di negara ini berbanding negara-negara lain tidak seteruk seperti diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.


“Malah, tadi semasa lawatan ke Pasar Chowrasta, saya bertemu dengan beberapa pelancong dan mereka memuji tahap keselamatan negara kita yang aman, tenteram dan mereka juga tidak menghadapi masalah di sini.


“Sebenarnya apa yang diperkatakan adalah lebih kepada persepsi masyarakat seolah-olah jenayah tidak dapat dikawal dan kita percaya dengan usaha berterusan polis dan agensi lain, pandangan negatif itu semakin pulih,” katanya.