Monday, January 4, 2010

Profesional terlibat dadah

BATU PAHAT 3 Jan. - Aktiviti penyalahgunaan dadah kini semakin serius apabila ramai golongan profesional turut terbabit sehingga sukar dikesan pihak berkuasa terutama polis.


Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebagai golongan berkemampuan mereka mudah mendapatkan bekalan dadah berbanding kebanyakan penagih tegar sebelum ini.


''Penagih dadah kini tidak perlu mencuri dan merompak untuk mendapatkan bekalan dadah kerana sebagai golongan berada mereka berkemampuan mendapatkannya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menutup Karnival Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di Dataran Penggaram, di sini, malam tadi.


Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai.


Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi Pemadam Batu Pahat, Norizan Kulop.


Abdul Ghani berkata, bilangan penagih dadah juga semakin bertambah di negeri ini tetapi sukar dikesan pihak berkuasa kerana membabitkan golongan berkenaan.


Menurutnya, di Batu Pahat sahaja terdapat 97 penagih baru dari Januari hingga Oktober tahun lalu berbanding 57 kes pada 2008.


Ekoran itu, beliau menggesa masyarakat agar memberikan perhatian terhadap usaha memulihkan penagih dengan membuang sepenuhnya amalan diskriminasi supaya mereka tidak kembali menagih.


''Bekas penagih yang berjaya dipulihkan pula hendaklah berhijrah ke tempat lain untuk membina hidup baru," katanya.


Selain itu, menurut beliau, bekas penagih juga perlu diberikan peluang mendapatkan pekerjaan sejajar dengan latihan yang diterima di pusat pemulihan.