Tuesday, January 19, 2010

Pelakon kena terjun bangunan tinggi

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Segak dengan pakaian seragam polis.

Seperti bakal rekrut menghadapi latihan lasak, barisan bintang Akademi Polis juga tidak terlepas daripada ujian mental dan fizikal



APA yang tidak mereka lakukan - berkawad dalam panas terik, latihan lasak, memanjat dan terjun bangunan tinggi, semua ujian getir itu terpaksa dilalui barisan pelakon drama bersiri kepolisian, Akademi Polis yang kini memasuki musim ketiga. Seperti bakal rekrut menghadapi latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), mereka juga tidak terlepas daripada ujian yang memberi tekanan mental dan fizikal.



Bagaimanapun, hanya pelakon yang lasak dan tunduk dengan tekanan mental dan fizikal saja mampu bertahan. Pengarahnya, Yusof Kelana juga melayan pelakon sebagai rekrut bagi mendapat `feel’ sebagai pegawai polis yang sedang menjalani latihan.


Drama terbitan ME Communications itu menyelongkar kehidupan dan suka duka rekrut dalam latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) selama ini tidak diketahui umum. Drama bersiri musim ketiga itu masih mengetengahkan Fezrul Khan dan Serina Redzuawan selaku watak utama, selain dibantu Ozlyn Waty, Lando, Raja Azrey, Kaza, Zack Kool, Sherry dan Alias Yusof.


Yusof (tengah) bersama Kaza, Serina, Ozlyn dan Lando.

Sembilan rekrut baru pula membariskan pelakon baru seperti Adiela Adrina, Nana Nurul Esma, Mohd Aidil Abdul Aziz, Mahadzir Rosli, Ahmad Ezwan Alif, Azimi Nizan, Nurul Huda Marlina, Noraslinda Othman dan Haliha Hassan.



Akademi Polis itu akan disiarkan di kaca TV9, setiap Rabu, jam 9.30 malam selama sejam tidak lama lagi. Jika musim pertama dan kedua, ia disiarkan dalam 13 episod, sebaliknya musim ketiga, Akademi Polis yang mencapai rating lebih sejuta penonton itu akan disiarkan dalam 26 episod.



Yusof berkata, Akademi Polis mungkin tidak mampu menandingi kehebatan Gerak Khas tetapi drama bercorak kepolisian itu mempunyai kekuatan dan jalan cerita yang memikat ramai penonton.



“Gerak Khas dan Akademi Polis adalah dua drama berbeza biarpun dalam genre sama. Gerak Khas lebih bercorak drama aksi dan membanteras jenayah, sebaliknya Akademi Polis pula memaparkan kehidupan rekrut atau bakal pegawai polis ketika menghadapi ujian getir di Pulapol.



“Jadi tidak adil sekiranya kita membandingkan dua drama berkenaan. Lagi pun Gerak Khas sudah lama bertahan dan Akademi Polis pula usianya tak sampai dua tahun. Saya setuju jika dianggap tiada nama besar dalam drama Akademi Polis selain Serina tetapi hanya pelakon lasak saja mampu menerajui drama ini.



“Jika saya ambil nama besar dalam dunia lakonan, saya percaya mereka hanya boleh bertahan seminggu dua, selepas itu mereka akan lari. Saya akui pelakon bukan hanya berlakon tetapi perlu menjalani latihan lasak seperti mana rekrut dalam Pulapol. Tiada alasan buat mereka untuk mengelak melakukan aksi terjun bangunan, latihan lasak, kawad dan apa juga latihan yang dilalui rekrut,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Akademi Polis di Pulapol, Jalan Semarak, baru-baru ini.


Serina mendapat tunjuk ajar menggunakan senjata.

Yusof berkata, Anding antara pelakon yang digugurkan pada musim ketiga kerana tidak memiliki ketahanan mental dan fizikal biarpun sudah bersama Akademi Polis selama dua musim.



“Anding menghilangkan diri begitu saja dan kami sudah cuba menghubungi dan mencarinya di rumah. Sehingga kini, saya tidak dapat mengesan Anding dan kami terpaksa menggugurkannya daripada drama ini. Wataknya akan dimatikan. Saya tidak menolak kemungkinan Anding tidak tahan dengan ujian mental dan fizikal ketika membintangi drama ini.



“Saya bangga dengan Serina dan Ozlyn Waty yang lasak dan mampu mengharungi apa juga tekanan ketika membintangi drama ini. Mereka tidak pernah berkata tidak boleh apabila perlu melakukan aksi lasak sehingga perlu terjun daripada tingkat lima sebuah bangunan.



Bukan mudah untuk saya mencari pelakon wanita yang boleh melakukan aksi stunt seperti mereka. Saya mendidik mereka seperti anggota rekrut dan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan. Saya akui serius dan tegas ketika mengarahkan drama ini bagi memastikan pelakon betul-betul berketrampilan seperti pegawai polis. Apa juga yang dilakukan bagi menjaga hubungan baik dan tidak memalukan Polis Di Raja Malaysia,” katanya.



Serina akui, pada mulanya agak ragu-ragu kemampuannya menerajui Akademi Polis. Dan, drama itu juga adalah pengalaman pertamanya bekerja dengan Yusof Kelana.



“Saya tak yakin mampu melakukannya apabila pertama kali bertemu dengan Yusof. Beliau kelihatan garang dan tegas. Bagaimanapun, saya seorang yang suka pada cabaran, sama ada mampu atau sebaliknya saya tak kisah asalkan saya mencuba terlebih dulu. Tak sangka sudah masuk musim ketiga, saya masih menerajui drama bersiri ini.



“Yusof memang tegas tetapi bertempat. Beliau melatih kami seperti rekrut dan disiplin paling dijaga. Jika lambat lima minit ke lokasi, Yusof tak bagi muka. Walaupun di luar kami rapat seperti adik dan abang, tetapi apabila berada di lokasi, dialah ketua kami. Jadi kami perlu sentiasa bersedia dan disiplin perlu jaga.



“Saya juga bersyukur dapat menjalinkan kerjasama dengan Yusof kerana beliau membentuk disiplin kami, selain banyak pengalaman manis dan pahit yang perlu ditempuh. Kadang kala terasa juga saya seperti pegawai polis dan ketegasan itu terbawa-bawa di luar lokasi penggambaran,” kata anak dara pakar masak terkenal, Chef Wan itu.



Pelakon berusia 25 tahun itu mengakui dirinya pernah menyimpan impian bergelar anggota polis, tapi nampaknya impian hanya termakbul dalam lakonan. Apabila ditawarkan menjadi Inspektor Nurfatimah, tentu dirinya tak melepaskan peluang untuk merealisasikan impiannya biarpun bukan anggota polis sebenar.



Lando berkata, tak banyak cabaran yang dihadapi kerana wataknya sebagai Inspektor Rosli masih dalam melakonkan karakter antagonis sebagaimana lakonannya sebelum ini.



“Watak antagonis yang dimaksudkan bukanlah watak hitam seperti penjenayah sebaliknya karakter saya sebagai anak seorang Datuk dan berpengaruh. Bagaimanapun, selepas putus tunang, saya berubah sikap. Konflik berlaku apabila kekasih baru saya, Azlina (Myra Normila), seorang wartawan ditahan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Saya bersama bapanya, Sarjan Manan (Kaza) berusaha membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.