Sunday, January 31, 2010

'Mat rempit' dipenjara 2 tahun, denda RM7,000

SEREMBAN 29 Jan. - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat landskap dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram, hampir empat tahun lalu.


Majistret Marsilawati Mohamad Shah yang membacakan keputusan yang dibuat oleh Majistret Mohd. Aizuddin Zolkefly turut memerintahkan lesen memandu Saiful Irwan Rubu, 23, digantung selama dua tahun.


Pemuda itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.


Saiful disabitkan atas kesalahan terlibat dalam aktiviti lumba haram dengan menunggang motosikal nombor pendaftaran JBU 4840 dari lampu isyarat, Taman Mentari Heights hingga lampu isyarat Taman Seri Pagi di sini pada pukul 6.35 petang, 12 Februari 2006.


Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.


Mohd. Aizuddin menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan tersebut.


Terdahulu, pegawai pendakwa, Cif Inspektor M. Shanmugavel memohon agar hukuman berat dikenakan berikutan kesalahan itu adalah serius dan aktiviti lumba haram kerap berlaku di kawasan berkenaan walaupun berulang kali operasi polis dijalankan.


Peguam Bakhtiar Hamdan yang mewakili Saiful pula memohon pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.


Marsilawati membenarkan permohonan itu dan menambah jumlah ikat jamin tertuduh kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.