Tuesday, January 5, 2010

Ketua Polis Kelantan beri khutbah cegah jenayah

KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, akan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid terpilih dalam usahanya menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai keadaan jenayah di negeri itu serta langkah pencegahannya.


Beliau berkata, usaha itu akan dimulakan mulai 22 Januari ini di Masjid Telipot, di sini.


“Saya sendiri akan menyampaikan khutbah bagi menyalurkan maklumat mengenai cara pencegahan jenayah kepada masyarakat.


“Untuk tujuan ini, kita mendapatkan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan (Maik),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan, semalam.


Usaha Abdul Rahim menyampaikan khutbah Jumaat bagi menerangkan kepada orang ramai mengenai langkah pencegahan jenayah bukan perkara baru, sebaliknya sudah menjadi pendekatan tahunan. Malah, ketika menyampaikan khutbah Jumaat sebelum ini, beliau yang bersongkok lengkap dengan seragam polis.


Mengulas kes jenayah di seluruh Kelantan sepanjang 2009, Abd Rahim berkata, kes rogol di negeri ini meningkat 25 peratus sepanjang tahun lalu, dengan sebahagian besar daripada 63 kes yang dilapor, membabitkan gadis bawah umur serta kerelaan mangsa ekoran perhubungan bebas yang terjalin.


Beliau berkata, kebanyakan kes rogol itu berlaku di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh dengan antara punca peningkatan jenayah seksual itu adalah akibat kecenderungan gadis bawah umur mengikut teman lelaki masing-masing berikutan kurangnya pengawasan ibu bapa.


"Sebagai orang tua pun, saya salahkan ibu bapa, mereka perlu memainkan peranan mengawasi pergaulan anak dan sebagainya kerana ibu bapa yang menentukan masa depan anak dari segi pelajaran, pendidikan, moral dan tingkah laku.


"Ini pelajar Tingkatan Dua pun sudah ada teman lelaki, ada kawan lelaki, jadi pengawasan ibu bapa adalah penting," katanya.


Ditanya sama ada majoriti kes rogol itu membabitkan mangsa secara sukarela atau sebaliknya, Abd Rahim berkata, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan meskipun ia dilakukan atas dasar suka sama suka jika membabitkan gadis bawah umur.


"Kes rogol yang suka rela, dengan rela atau tak, ia tetap salah... mereka ini ikut teman lelaki, itu yang jadi masalah, sebab itulah perkara ini harus kembali kepada ibu bapa,” katanya.