Tuesday, January 12, 2010

KDN tolak dakwaan gagal bertindak


Hishammuddin Tun Hussein diiringi Ismail Omar (tiga dari kanan) meninjau anggota Rela menjalankan tugas di sekitar Hentian Puduraya, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Pengarah Rela Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aminuddin Yusof (kiri). – BERNAMA



KUALA LUMPUR 11 Jan. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan yang mengatakan ia gagal bertindak dengan baik dalam menangani beberapa isu terutama insiden serangan ke atas gereja sehingga ia meningkat kepada lapan buah sejak kes pertama direkodkan Jumaat lalu.


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, sekiranya pihak berkuasa terutama polis gagal menjalankan tanggungjawab mereka, pasti lebih banyak insiden buruk dicatatkan sejak beberapa hari lalu.


“Saya rasa keadaan kita terkawal, jangan ingat ia (keselamatan) datang melayang dan bergolek begitu saja.


“Ia (usaha menjaga keselamatan) memerlukan satu tindakan tegas, pencegahan dan kerjasama,” katanya pada sidang akhbar sebelum melakukan lawatan ke beberapa kawasan panas jenayah di sekitar Hentian Puduraya di sini hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pengarah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Datuk Zaidon Asmuni.


Hishammuddin mengulas insiden serangan ke atas lapan gereja dengan yang terbaru dilaporkan di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Seremban di Lakeview Square, Seremban 2 awal pagi ini.


Jelas beliau, insiden terbaru itu boleh disifat sebagai melegakan kerana ia tidak serius seperti kejadian empat gereja yang dibakar di sekitar Lembah Klang sejak Jumaat lalu.


Kejayaan KDN membendung kejadian itu daripada merebak pada skala lebih besar, jelasnya, dibantu oleh tiga perkara iaitu pendirian kerajaan; komitmen pihak berkuasa dan kematangan masyarakat Malaysia melihat insiden itu sebagai sesuatu yang serius.


‘‘Saya gembira kerana pada hari Jumaat kita sudah lalui dengan umat Islam kita, sementara semalam (Ahad) pula, masyarakat Kristian di seluruh negara berupaya melakukan acara keagamaan (Sunday services) dengan selamat,’’ katanya.


Dalam pada itu beliau mengesahkan, polis sedang menyiasat identiti individu yang bertanggungjawab melemparkan bom petrol di tiga buah gereja di sekitar Lembah Klang pada awal pagi Jumaat lalu.


Namun, beliau enggan mendedahkan perincian mengenai individu itu.


Tambahnya, KDN pada pagi ini juga telah memberikan penerangan kepada beberapa duta asing di sini mengenai situasi terbaru berhubung isu tersebut bagi menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada menyebarkan berita-berita palsu.


Sementara itu, Ismail menegaskan, polis tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan ke atas mana-mana individu yang menyertai sebarang perhimpunan haram yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).