Monday, January 11, 2010

Gereja, pondok pengawal sekolah sasaran terbaru

TAIPING 10 Jan. - Dua buah gereja dan sebuah pondok pengawal sekolah aliran Inggeris di sini dilempar dengan bom petrol dan batu, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden yang sama menimpa tiga buah gereja di Lembah Klang, kelmarin.


Insiden pertama berlaku di pondok pengawal Sekolah Menengah Convent yang dilempar batu menyebabkan salah satu daripada cermin tingkap pondok itu pecah.


Selain itu, Gereja Taiping Catholic di Jalan Convent dan Gereja All Saints di Jalan Taming Sari menjadi sasaran dilempar dengan bom petrol.


Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah ketika dihubungi hari ini menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak panik dengan kejadian itu.


Menurut beliau, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini.


Sementara itu, Paderi Gereja All Saints, Joshua Ong, 48, berkata, dia menemui satu botol bom petrol di tangga ketika mahu membuka gereja itu kira-kira pukul 7 pagi ini.


Satu lagi botol juga dipercayai mengandungi cecair bahan pembakar sama, ditemui pecah berhampiran dinding depan bangunan gereja, katanya.


Di Miri, Sarawak, Gereja Good Shepherd (Anglikan) di Lutong, rosak selepas cermin bilik paderi dan koir dipecahkan.


Paderi gereja itu, Reverend (Rev) Donald Jutie berkata, kerosakan berlaku membabitkan tiga panel tingkap bilik paderi dan koir serta empat panel tingkap di tandas.


Beliau berkata, kejadian itu disedari pukul 6.05 pagi ketika mahu memulakan upacara keagamaan hari minggu.


Di Melaka, Gereja Baptist di Durian Daun hari ini disimbah dengan cat hitam.


Kejadian disedari pengerusi gereja tersebut pada pukul 9.20 pagi, sebelum 100 orang penganutnya hendak melakukan upacara keagamaan.


Pengerusi gereja itu, Pang Fee Yoon berkata, ini merupakan kali pertama kejadian berlaku di gereja tersebut yang mula dibuka pada tahun 1973.


Sementara itu, di Pulau Pinang polis menafikan kejadian kereta seorang paderi yang disimbah cat di Bukit Tengah hari ini mempunyai kaitan dengan isu serangan ke atas gereja.


Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya percaya kejadian itu bermotifkan dendam peribadi kerana paderi terbabit pernah menerima ugutan daripada seorang lelaki yang dikenalinya sebelum ini.


Malah, katanya, mangsa yang berusia 40 tahun itu juga mengesahkan ugutan yang diterimanya itu bukan pertama kali berlaku.