Tuesday, January 19, 2010

Gangsterisme: Polis KL kenal pasti 'sekolah panas'

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Polis Kuala Lumpur sedang mengenal pasti 'sekolah-sekolah panas' di ibu negara untuk diberi tumpuan dalam usaha menangani masalah gangsterisme di kalangan pelajar yang semakin serius sejak kebelakangan ini.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, antara lain, usaha itu adalah bagi melengkapkan pengetahuan pelajar mengenai keseriusan jenayah serta impaknya kepada masyarakat.


Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti sekolah-sekolah bermasalah itu dan menjangkakan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.


"Daripada pemantauan, kita dapati kebanyakan sekolah bermasalah adalah terdiri dari sekolah-sekolah menengah. Bagaimanapun, ini tidak bermakna sekolah rendah tidak terlibat dalam masalah itu," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan pengawas kepada 89 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.


Pelaksanaan 'sekolah panas' tersebut, kata Muhammad Sabtu, menjadikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebagai IPK yang pertama memperkenalkan program seumpama itu.


"Kita akan mengadakan lawatan dan taklimat di sekolah-sekolah yang dipilih itu. Ia adalah bagi mendekatkan pelajar-pelajar yang dikenal pasti bermasalah itu dengan polis," jelasnya.


Ditanya mengenai perkembangan serangan sebuah kuil Sikh di Sentul, beliau berkata, polis mengklasifikasikan serangan itu sebagai masalah vandalisme dan tiada kaitan dengan isu gereja.