Tuesday, January 12, 2010

1,533 sukarelawan simpanan

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menambah seramai 1,533 anggota Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditempatkan di 50 kawasan panas di empat negeri yang kerap berlaku jenayah.


Penambahan itu melibatkan seramai 1,042 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan 491 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelantikan itu hanya untuk jangkamasa pendek dan sederhana.


"Bagi jangkamasa panjang di bawah RMK-9 (Rancangan Malaysia Kesembilan), kementerian telah berbincang dengan polis untuk menambah dan menaik taraf pusat-pusat latihan polis di seluruh negara.


"Dengan perancangan itu, kita dapat menyediakan anggota polis mengikut keperluan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan panas di sekitar Puduraya di sini hari ini.


Beliau memberitahu, penambahan anggota SSP juga sejajar dengan usaha kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran menurunkan kadar jenayah.


Dalam lawatan itu, beliau lega kerana SSP yang dilantik menunjukkan minat mendalam terhadap tugas mereka.


"Bagi menghargai anggota sukarelawan simpanan ini, hari ini saya turun ke bawah untuk bertanya khabar dan mendengar pendapat dan masalah mereka.


"Kita berharap orang ramai dapat merasai kesan penurunan jenayah daripada usaha yang dilakukan," ujarnya.