Tuesday, December 15, 2009

73,500 daftar jadi ahli Rakan Cop di Perak

IPOH 14 Dis. - Seramai 73,500 orang telah mendaftar sebagai Rakan Cop di negeri ini sejak program polis komuniti itu dilancarkan empat tahun lalu.


Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, berdasarkan peningkatan itu, pihaknya yakin sasaran 75,000 ahli menjelang hujung tahun ini akan dapat dicapai.


Untuk tujuan itu, ujar beliau, pihaknya sedang giat menjalankan kempen bagi menarik minat lebih ramai ahli masyarakat menyertai program yang dilancarkan pada 2005 itu.


"Kita kerap mengadakan program pelancaran Rakan Cop di Perak. Setakat ini, sudah 73 kali program ini diadakan dan Perak adalah negeri terbanyak mengadakannya berbanding negeri-negeri lain.


"Tujuan kita adalah untuk menarik ahli-ahli baru mendaftarkan diri sebagai Rakan Cop. Jika ramai yang menjadi ahli, maka sudah pastinya jenayah juga akan dapat dikurangkan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pensijilan Pengawal Keselamatan di sini hari ini.


Pada masa sama, Zakaria menyeru pekerja-pekerja kilang supaya mendaftar sebagai ahli Rakan Cop bagi mengelakkan mereka terjebak atau menjadi mangsa jenayah.


Pekerja kilang, katanya, wajar dididik agar celik jenayah di samping pengetahuan dalam teknologi maklumat.


Malah katanya, pihak pengurusan kilang dan pengawal keselamatan perlu tahu nombor bebas talian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan balai-balai polis berdekatan bagi membantu menyalurkan maklumat jenayah dengan lebih cepat.


"Polis Perak sekarang dalam sasaran mengekalkan statistik negatif jenayah di negeri ini.


"Jadi saya harap, semua pihak akan bersama-sama menjalinkan kerjasama erat dengan pihak polis," katanya.