Monday, December 19, 2011

SBPA: " TUNGGU SEHINGGA KAMI JUMPA PM"

SHAH ALAM 17 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.

"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.

"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.

SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.

Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.

"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.

"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.

Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini.

TAKLIMAT CUEPACS BERHUBUNG SBPA UNTUK ANGGOTANYA DI CIDB

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- CUEPACS akan memberikan taklimat mengenai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kepada anggotanya di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Cheras Ahad.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata taklimat yang akan diadakan pada 3 petang itu adalah bagi menjelaskan isu skim baru tersebut.

Beliau berkata kongres itu juga dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai SBPA Khamis ini di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pelajaran Semenanjung Malaysia di sini.

Beliau berkata CUEPACS juga mendapat aduan daripada kakitangan awam di Sabah dan Johor yang mendakwa mereka dipaksa menandatangani surat opsyen SBPA selepas menghadiri taklimat skim itu oleh segelintir pegawai atasan mereka.

Sehubungan itu, kakitangan awam dinasihatkan agar tidak terburu-buru menandatangani surat opsyen tersebut kerana ia tidak disertai maklumat atau skala gaji, dan mereka diberi tempoh hingga 30 Dis ini untuk membuat keputusan.

Omar berkata jika terdapat pegawai atasan yang memaksa penjawat awam menandatangani surat ospyen, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada CUEPACS.

Beliau berkata antara faktor CUEPACS tidak bersetuju dengan polisi SBPA yang menyebut kakitangan awam yang memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kurang daripada 70 peratus, boleh dibersarakan awal.

Omar mendakwa peraturan itu boleh disalahgunakan pegawai atasan bagi menindas kakitangan yang tidak disukai dengan memberi markah rendah.

Selain itu, paras 70 peratus dalam LNPT adalah lebih tinggi berbanding markah 50 peratus yang diperlukan di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi kenaikan gaji, katanya.

Omar berkata CUEPACS juga masih tidak begitu jelas mengenai golongan yang menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki.

Beliau berkata CUEPACS juga kesal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak memanggil wakil kongres itu untuk merangka SBPA, kerana sebelum ini, ia turut terlibat dalam penggubalan sistem yang menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Monday, September 12, 2011

SEJARAH PENUBUHAN PVR











Sunday, September 11, 2011

30,000 Polis naik pangkat

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai esok.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar malam ini selepas mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ismail, daripada jumlah tersebut, seramai 16,010 dinaikkan pangkat serta-merta, manakala 14,716 lagi akan dinaikkan kepada koperal secara berperingkat selepas ini.

"Kenaikan pangkat anggota yang ramai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan lans koperal tetap, sokongan dan lans koperal Orang Asli.

"Perdana Menteri selain itu turut meluluskan proses kenaikan tanpa temuduga tetapi anggota perlu mengikut syarat lain, termasuk tempoh tetap berkhidmat sebagai lans koperal iaitu selama lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Maktab PDRM Cheras, di sini.

Ismail memberitahu, kelulusan tersebut juga satu kejutan buat PDRM kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

Katanya, berikutan itu, anggota-anggota yang telah dan akan dinaikkan pangkat perlu bekerja keras dalam menjaga keselamatan negara.

Menurutnya, pada Julai lalu, seramai 1,294 anggota polis berpangkat lans koperal telah dinaikkan kepada koperal.

Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada Februari lalu.

Dalam pengumuman tersebut, seramai 98,747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Monday, August 22, 2011

Terjun sungai elak polis tahan

Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke Sungai Muda untuk melarikan diri sebaik menyedari anggota polis melakukan serbuan ke atas pusat perjudian di Bukit Selambau, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5.30 petang di Kampung Padang Sekawan, Bukit Selambau ketika mangsa dikenali sebagai Mohd Salim Abd Rahman, 31, mengikuti rakannya ke tempat itu untuk melihat sekumpulan lelaki bermain judi.

Bagaimanapun, serbuan oleh sepasukan 20 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Bukit Aman menyebabkan semua lelaki yang asyik bermain judi, termasuk mangsa, terkejut lalu cuba melarikan diri.

Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan 13 kaki judi manakala mangsa dan enam lelaki lagi melarikan ke arah Sungai Muda lalu terjun ke dalamnya, tetapi mangsa dikatakan terjatuh di kawasan air deras dan dalam.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat mangsa terkapai-kapai kerana tidak pandai berenang sambil menjerit meminta tolong.

Menurutnya, dia cuba membantu mangsa dengan menarik rambutnya, tetapi terlepas sebelum dihanyut arus deras yang berpusar dan terus hilang.

Biarpun usaha mencari dilakukan di tebing sungai, namun mangsa gagal ditemui, manakala enam lelaki lain yang terjun ke sungai berjaya berenang ke seberang dan melarikan diri ke arah Kampung Kuala Lesung berhampiran, katanya di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahman Shaari, 56, berkata anaknya yang juga penoreh getah keluar dari rumahnya di FeldaTeloi Timur, Bukit Selambau, di sini, jam 3 petang kelmarin bersama rakannya tanpa memberitahu tujuan.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan berita sedih apabila rakan anaknya memberitahu, Mohd Salim hilang selepas terjun ke sungai ketika melarikan diri daripada polis, jam 6 petang.

Saya terkejut disebabkan tidak menyangka dia pergi ke tempat sebegitu kerana sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melihat usaha mencarinya oleh penduduk kampung.

Sebelum keluar rumah, isteri Mohd Salim memberitahu saya, suaminya meminta wang RM10 daripadanya tetapi tidak memaklumkan apa-apa kecuali menyebut tidak mahu pulang berhari raya di rumah keluarga mentua di Sungai Petani, katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan sejak jam 9 malam kelmarin selepas polis meminta bantuan mencari mangsa di Sungai Muda.

Menurutnya, pihaknya menghantar 10 anggota, termasuk unit penyelam skuba, tetapi operasi terpaksa dihentikan pada tengah malam dan disambung semula jam 9 pagi, hinggalah mayat mangsa ditemui jam 5 petang semalam.
Related Posts with Thumbnails