Thursday, May 27, 2010

Inisiatif baru Polis Kelantan


Papan iklan yang dipasang oleh Polis Kelantan untuk mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama mencegah kemungkaran di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 25 Mei - Polis negeri mengambil inisiatif baru untuk terus mewujudkan kesedaran dan kerjasama orang ramai di negeri ini dalam memerangi jenayah.


Puluhan papan iklan memaparkan tuntutan itu yang selaras dengan kehendak agama berpandukan ayat-ayat suci al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.


Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebanyak 54 papan iklan besar ditempatkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, pihak polis mahu supaya rakyat berasa tanggungjawab bersama dengan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.


"Papan iklan itu dipasang sejak dua minggu lalu di lokasi-lokasi strategik selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Katanya, pada masa sama, pihaknya mahu memberitahu kepada rakyat bahawa polis sentiasa bersedia membantu orang ramai dan ia merupakan salah satu daripada program 'Community Policing'.

"Selain itu, kita juga mahu supaya orang ramai melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada kes jenayah yang berlaku di kawasan mereka," katanya


Abdul Rahim berkata, versi baru papan iklan itu juga diharapkan dapat menimbulkan kesedaran kerana ia turut dipamerkan bersama ayat al-Quran dan hadis bersama maksudnya.


Katanya, pegangan agama merupakan faktor penting untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan jenayah dan ia merupakan satu pendekatan yang dilakukan oleh Polis Kelantan.


"Jika dahulu kita menggunakan kartun untuk menarik perhatian orang ramai tetapi sekarang kita menggunakan ayat al-Quran supaya ia dapat menimbulkan kesedaran.


"Disebabkan itu juga, program untuk mendekatkan polis dengan masyarakat kita lakukan di masjid-masjid kerana bagi saya dengan pegangan agama yang kukuh ia dapat menghindari masyarakat daripada terlibat dengan jenayah atau kegiatan tidak bermoral," katanya.

Tuesday, May 4, 2010

JPAM bantu capai sasaran

UMUM mengetahui tugas dan peranan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) adalah menyelamat mangsa, selain diperlukan ketika bencana.


Dengan bilangan keanggotaan yang tinggi iaitu 80,000 orang dan sasaran 100,000 pada penghujung tahun ini, organisasi itu nyata memiliki kelebihan tersendiri.


Justeru, pemilihan JPAM untuk turut serta menyertai polis menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dianggap sesuatu yang tepat.


Ia tidak lain untuk mencapai sasaran kerajaan dalam mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus di empat buah negeri yang dikenal pasti 'panas'.


Sehingga kini, seramai 770 anggota JPAM telah memasuki anggota sukarelawan (PVR) di empat buah negeri yang dikenal pasti iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.


Bagi Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, pihaknya mengalu-alukan langkah tersebut yang merupakan pengiktirafan kerajaan kepada JPAM.


"Ini menunjukkan keupayaan JPAM setara dengan pasukan keselamatan lain. Kita bangga untuk turut sama terlibat.


"Pada saya, ia satu pendekatan positif dan dapat mengoptimumkan tenaga JPAM," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.


Beliau juga menyifatkan pemilihan JPAM dalam menjayakan NKRA selari dengan slogan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu 'rakyat didahulukan'.


Ini kerana, sebahagian besar anggota JPAM adalah mereka yang bekerja secara sukarela untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.


"Maka sebab itu, saya berpendapat kemasukan JPAM amat sesuai iaitu 'dari rakyat untuk rakyat'.


"Selain itu, jika sebelum ini anggota JPAM bertugas secara berkala iaitu ketika kecemasan atau bencana, namun dengan penglibatan NKRA, anggota kita akan terlibat secara sepenuh masa.


"Jika tiada tugas-tugas kepolisan seperti rondaan cegah jenayah, mereka akan kembali ke JPAM untuk bertugas seperti biasa. Dengan ini, ruang masa bekerja dapat dioptimumkan,"ujarnya.


Dengan bilangan keanggotaan yang ramai, JPAM yakin tidak mempunyai halangan menawarkan lebih ramai anggotanya untuk menyertai PVR pada masa depan.


Malah, pihaknya merancang untuk menambah bilangan keanggotaan JPAM dari semasa ke semasa.


Ini akan dilakukan dengan mewujudkan pejabat pentadbiran jabatan itu di semua 152 daerah di seluruh negara.


"Kita yakin dengan adanya pejabat-pejabat ini, lebih ramai akan memasuki JPAM. Ini kerana ramai yang ingin menyertai kami tetapi tidak berpeluang kerana di tempat mereka tidak ada pejabat JPAM.


"Bagi mengurangkan kos, kita akan menggunakan bangunan kerajaan lama dan menaiktarafnya bagi kegunaan pejabat," ujar beliau.


Sekiranya matlamat itu berjaya dilakukan, sudah tentu lebih ramai anggota JPAM dapat disalurkan bagi membantu PDRM membanteras jenayah jalanan.


Dari segi jadual perkhidmatan anggota dalam JPAM, pihaknya akan menyesuaikannya mengikut keperluan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Ini bermakna tiada pertindihan tugas antara JPAM dan PDRM. Anggota akan diberi pelepasan jika diperlukan untuk berkhidmat dalam PVR.


"Anggota kita juga diberi latihan sewajarnya oleh PDRM selain bertugas mengikut seliaan pegawai polis," ujarnya.


Abdul Halim turut percaya dengan strategi PDRM seperti meningkatkan jumlah anggota di lokasi strategik dan mengadakan operasi bersepadu, maka matlamat NKRA mampu dicapai.


Ini terbukti apabila kadar jenayah di empat negeri utama tersebut telah berjaya diturunkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu.


"Saya optimis, JPAM sebagai pasukan sokongan dapat memberi sumbangan kepada PDRM untuk bersama-sama mengurangkan kadar jenayah," katanya.

Jangan perlekeh polis - Musa

KUALA LUMPUR 3 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menjadikan kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lalu sebagai medan untuk memperlekehkan tugas pasukan itu.


Sebaliknya beliau berkata, masyarakat perlu sedar bahawa polis selama ini menjalankan tugas mengawal keselamatan negara dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap anggotanya terlalu berat serta mencabar.


Beliau memberikan contoh, tugas pasukan polis mengadakan rondaan termasuk pada waktu malam dan awal pagi berjaya menemui mayat seorang wanita yang dibunuh oleh teman lelakinya dalam sebuah kereta di Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.


"Jika kita tidak membuat rondaan, atau tidak bertindak tegas ketika menjalankan tugas, orang kata polis tidak buat kerja. Tapi bila kes seperti ini berlaku, ada pihak yang ambil kesempatan untuk 'hentam' pula polis.


"Saya kesal kerana dalam situasi ini, ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan untuk memperlekehkan tugas polis. Bagi saya, dalam siasatan kes membabitkan Allahyarham Aminulrasyid, kita tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau berat sebelah," katanya.


Musa berkata demikian ketika ditemui selepas melawat seorang anggota trafik, Sarjan Roslan Bachik, 49, yang patah kaki kanannya akibat dirempuh dalam sekatan jalan raya kelmarin, di Hospital Serdang hari ini.


Dalam kejadian pada 26 April lalu, Aminulrasyid maut akibat terkena tembakan polis setelah enggan memberhentikan kenderaannya di Seksyen 11, Shah Alam selepas diarahkan berbuat demikian.


Musa memberitahu, polis juga sudah mengenal pasti pihak yang bertindak sebagai dalang dalam usaha memperlekehkan tugas polis.


Ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap kes membabitkan Aminulrasyid, Musa berkata, polis akan menyerahkan semula kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja ia selesai dilakukan.


Sementara itu dalam lawatan tersebut, Musa turut prihatin terhadap keperitan yang ditanggung Roslan yang terpaksa dirawat di hospital untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.


"Inilah kerja anak orang 'baik-baik', naik motosikal tanpa lesen dan langgar anggota kita yang sedang melakukan tugas.


"Sekarang siapa pula yang akan membela nasib anggota itu," katanya kecewa.


Roslan yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan mempunyai tujuh orang anak terbabit dalam kemalangan ketika sedang mengadakan sekatan jalan raya di Lebuh Raya Damansara Puchong petang kelmarin.

17 juta saman tertunggak 2000-2008


Solah Mat Hassan (kiri) diperhatikan Shuhaili Mohd. Taufik menyampaikan sijil kepada Rositah Ahmad Tahor pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ 2009 Sabah di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 3 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mencari jalan menyelesaikan 17 juta keping saman tertunggak dari 2000 hingga 2008 melalui beberapa strategi dan pendekatan baru.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, langkah itu penting bagi menjaga imej organisasi tersebut sekali gus meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatannya.


"Hebahan akan dilakukan melalui media massa. Sekiranya gagal membayar selepas diberitahu kita akan menyenarai hitam mereka. Tempoh akhir pembayaran akan diumum nanti," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurna Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 JPJ Sabah di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.


Turut hadir ialah Pengarah JPJ Sabah, Shuhaili Mohd. Taufik. Seramai 44 anggota JPJ negeri menerima anugerah berkenaan yang terdiri daripada para pegawai dari seluruh Sabah.


Solah berkata, daripada jumlah saman itu, sebanyak 500,000 dikeluarkan pihak JPJ manakala selebihnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Beliau memberitahu, antara punca utama tunggakan itu adalah mereka yang disaman itu bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.


Jelasnya, proses peralihan penyimpanan data JPJ daripada manual kepada sistem komputer antara 2000 hingga 2006 juga menjadi salah satu sebab kepada tunggakan itu.


Bagi memantap operasi JPJ, Solah berkata, pihaknya akan mempraktik prosedur operasi standard (SOP) untuk melayakkan pensijilan ISO terhadap perkhidmatan organisasi itu pada tahun depan.


Melalui langkah tersebut katanya, semua bentuk peraturan dan sistem JPJ termasuk di Sabah dan Sarawak akan diselaras dan pembaharuan itu akan memudahkan operasi pihaknya.


Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, pihaknya menerima 3,135 jumlah aduan daripada orang awam atas pelbagai masalah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.


"Antara kesalahan utama ialah kegagalan penguatkuasaan, kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan di kaunter atau telefon, salah guna kuasa, penyelewengan dan kegagalan ikut prosedur," katanya.


Jumlah tersebut katanya, melebihi aduan dalam tempoh setahun iaitu sebanyak 11,720 pada tahun lalu dan 8,071 pada tahun sebelumnya.

Sunday, April 18, 2010

Cadangan suruhanjaya dilaksanakan

PENGUMUMAN pemberian elaun tambahan bulanan RM200 kepada kira-kira 33,000 anggota polis untuk tugasan am dan skim kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan awam bagi anggota berpangkat konstabel dan lans koperal harus dialu-alukan.


Bagi saya, insentif ini yang diumumkan sempena Hari Polis pada 25 Mac lalu oleh Perdana Menteri merupakan satu pengiktirafan kepada khidmat dan pengorbanan pasukan PDRM.


Insentif tersebut telah lama ditunggu memandangkan peranan dan komitmen para anggota polis yang berbakti secara ikhlas dan jujur untuk menjamin keselamatan negara dan orang awam.


Seperti slogan ‘Jasamu Dikenang’, anggota polis sudah banyak berkorban untuk rakyat dan negara. Jadi, apa yang diberikan kepada mereka memang berbaloi dengan jasa yang dicurahkan.


Sungguhpun ada anggota polis berasa lebih banyak lagi insentif patut diberikan, namun pihak kerajaan hanya dapat membuat pemberian mengikut kemampuan.


Saya gembira dengan insentif itu kerana dua sebab. Pertamanya, selama ini saya banyak menyuarakan perlunya kerajaan menyediakan insentif kepada anggota polis terutama kepada mereka berpangkat rendah, setimpal dengan kerja mereka.


Keduanya adalah sebagai mantan Ahli Suruhanjaya Diraja Penambaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, saya dapat mengemukakan cadangan mengenai penambahbaikan gaji, elaun dan aspek kebajikan lain anggota polis.


Saya juga gembira melihat beberapa cadangan suruhanjaya mengenai penambahbaikan perkara berkaitan kebajikan anggota polis dapat diterima dan dilaksanakan.


Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikan insentif baru kepada anggota berpangkat rendah. Mereka tetap layak menerima semua insentif yang telah diberikan. Saya percaya, insentif baru tersebut akan menyemarakkan lagi semangat anggota, khususnya yang berpangkat rendah untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan dan ketenteraan awam.


Dalam usaha kita mengurangkan kadar jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) iaitu keseluruhan sebanyak lima peratus dan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini, anggota polis perlu menunjukkan komitmen yang lebih tinggi semasa menjalankan tugas masing-masing.


Pihak PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus di seluruh negara sepanjang Januari dan Februari, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.


Dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membanteras dan mencegah jenayah, setiap anggota dan pegawai PDRM perlu mengamalkan beberapa nilai utama seperti sentiasa berkhidmat dengan ikhlas, jujur, berkesan dan berintegriti serta profesional bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.


Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta isu dadah dan kemasukan pendatang haram, bilangan kejadian jenayah boleh meningkat.


Ini merupakan satu waktu yang mencabar kepada pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang dan mereka harus berusaha membanteras jenayah dan melindungi orang awam.


Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sangat bimbang tentang kejadian jenayah hari ini, dan menyeru orang awam agar lebih berhati-hati serta memainkan peranan yang lebih proaktif untuk menangani jenayah.


TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Related Posts with Thumbnails