Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke Sungai Muda untuk melarikan diri sebaik menyedari anggota polis melakukan serbuan ke atas pusat perjudian di Bukit Selambau, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku jam 5.30 petang di Kampung Padang Sekawan, Bukit Selambau ketika mangsa dikenali sebagai Mohd Salim Abd Rahman, 31, mengikuti rakannya ke tempat itu untuk melihat sekumpulan lelaki bermain judi.
Bagaimanapun, serbuan oleh sepasukan 20 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Bukit Aman menyebabkan semua lelaki yang asyik bermain judi, termasuk mangsa, terkejut lalu cuba melarikan diri.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan 13 kaki judi manakala mangsa dan enam lelaki lagi melarikan ke arah Sungai Muda lalu terjun ke dalamnya, tetapi mangsa dikatakan terjatuh di kawasan air deras dan dalam.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat mangsa terkapai-kapai kerana tidak pandai berenang sambil menjerit meminta tolong.
Menurutnya, dia cuba membantu mangsa dengan menarik rambutnya, tetapi terlepas sebelum dihanyut arus deras yang berpusar dan terus hilang.
Biarpun usaha mencari dilakukan di tebing sungai, namun mangsa gagal ditemui, manakala enam lelaki lain yang terjun ke sungai berjaya berenang ke seberang dan melarikan diri ke arah Kampung Kuala Lesung berhampiran, katanya di sini, semalam.
Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahman Shaari, 56, berkata anaknya yang juga penoreh getah keluar dari rumahnya di FeldaTeloi Timur, Bukit Selambau, di sini, jam 3 petang kelmarin bersama rakannya tanpa memberitahu tujuan.
Menurutnya, dia dikejutkan dengan berita sedih apabila rakan anaknya memberitahu, Mohd Salim hilang selepas terjun ke sungai ketika melarikan diri daripada polis, jam 6 petang.
Saya terkejut disebabkan tidak menyangka dia pergi ke tempat sebegitu kerana sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melihat usaha mencarinya oleh penduduk kampung.
Sebelum keluar rumah, isteri Mohd Salim memberitahu saya, suaminya meminta wang RM10 daripadanya tetapi tidak memaklumkan apa-apa kecuali menyebut tidak mahu pulang berhari raya di rumah keluarga mentua di Sungai Petani, katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan sejak jam 9 malam kelmarin selepas polis meminta bantuan mencari mangsa di Sungai Muda.
Menurutnya, pihaknya menghantar 10 anggota, termasuk unit penyelam skuba, tetapi operasi terpaksa dihentikan pada tengah malam dan disambung semula jam 9 pagi, hinggalah mayat mangsa ditemui jam 5 petang semalam.