Tuesday, July 4, 2017

[UPDATE] Geng 08, Geng 21 yang gaduh

SIASATAN polis mendapati pergaduhan di Jalan Kledang Timur 10, Menglembu, 8 malam kelmarin, sehingga tiga lelaki parah ditembak membabitkan Geng 08 dan Geng 21.
Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, polis sudah menahan empat suspek berusia 21 hingga 35 tahun berasal dari Batu Gajah termasuk suspek dipercayai melepaskan tembakan terhadap ketiga-tiga mangsa itu.
"Siasatan mendapati mangsa dari Geng 08 dan suspek dari Geng 21 manakala pihak polis sudah mengesan beberapa lagi suspek lain yang terbabit dalam kes ini.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1967," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan tiga lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun cedera di beberapa bahagian badan akibat ditembak berpunca daripada pergaduhan ketika menonton perlawanan bola sepak.
Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara dua kumpulan semasa menonton perlawanan bola sepak di Padang Ipoh jam 4 petang hari yang sama.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Difahamkan, bapa kepada seorang daripada mangsa turut menerima ugutan daripada seorang lelaki pada 6 petang memberitahu akan menembak anak serta rakan anaknya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 8:19 AM

Mayat remaja ditemui terapung


MAYAT remaja yang hilang selepas berenang untuk mengambil bola dalam sungai di Kampung Delong, Dungun, pada Ahad lalu ditemui terapung, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, mayat Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, dijumpai terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasinya dilaporkan tenggelam, 7.05 pagi tadi.
"Ketika menyambung semula operasi mencari pagi ini dengan memperluaskan lagi kawasan pencarian, akhirnya mangsa ditemui," katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu kemudiannya dibawa ke daratan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Ahmad Zailani berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi mencari termasuk penduduk kampung yang banyak membantu polis.
Dalam kejadian, 6.45 petang Ahad lalu , Che Wan Haziq yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut dikatakan bermain bola sepak berhampiran sungai berkenaan bersama rakannya.
Mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai itu untuk mengambil bola sebelum tenggelam.
Foto Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 11:28 AM

PANGGIL NAMA BULAN JUN 2017





Tuesday, June 20, 2017

Op Selamat 11 sempena Aidilfitri dilancarkan

KUALA LUMPUR: Op Selamat 11 sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini dilancarkan.

Berlangsung selama 15 hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai, ia mengekalkan fokus terhadap usaha mengurangkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan jalan raya dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.’


Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ia merupakan usaha berterusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan penguatkuasaan selain daripada kempen kesedaran orang ramai terhadap penekanan pemanduan selamat dan keselamatan sebelum meninggalkan rumah.


Namun, beliau agak kecewa kerana 20 tahun sejak Op Selamat pertama dilancarkan, ia masih tidak menunjukkan impak yang benar-benar positif.

Jelasnya, semua usaha pihak berkuasa hanya sia-sia jika masyarakat masih tidak sedar dan menitik beratkan keselamatan untuk mengubah perkara itu.

“Saya susah hati. Di Malaysia sekarang ini untuk satu tahun, jumlah kematian di jalan raya telah mencecah 7,000 orang.


“Daripada analisis kami, boleh kata 95 peratus daripada kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri. Itu lah sebabnya kita tak jemu-jemu jalankan kempen ini," katanya selepas melancarkan Op Selamat 11 di sini hari ini.


Tahun lepas, Op Selamat 9 mencatat 20,982 kes kemalangan, menyaksikan peningkatan 524 kes atau 2.6 peratus berbanding tahun 2015.


Bagaimanapun kes kemalangan maut menurun 30 kes daripada 303 kes kepada 273, dan jumlah kematian juga menurun 31 kes daripada 330 kepada 299 kematian.


Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai yang pulang beraya di kampung halaman supaya meninggalkan kediaman masing-masing dalam keadaan yang telah dipastikan keselamatannya.


Kini orang ramai memiliki kemudahan untuk menghantar Borang Maklumat Balik Kampung menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) tanpa perlu ke balai polis berhampiran, dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya.


“Tahun lepas, lebih kurang 100,000 ribu pemilik rumah yang hantar borang kepada kita, sedikit peningkatan iaitu tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.


“Lebih mudah isi borang menerusi aplikasi ini supaya kita boleh aturkan rondaan di kawasan rumah yang mendaftar,” katanya.

Lelaki penyeludup senjata api dan dadah mati ditembak polis

ALOR SETAR - Seorang penjenayah yang dipercayai aktif dalam aktiviti penyeludupan senjata api dan dadah dari negara jiran ditembak mati polis di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, Baling, semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang melakukan rondaan terserempak dengan kenderaan suspek yang berhenti di tepi jalan.
"Pihak polis telah menghampiri kereta jenis Toyata Vios yang dinaiki lelaki berumur 41 tahun itu sebelum mengarahkan suspek keluar untuk pemeriksaan namun suspek telah melepaskan beberapa das tembakan dari arah dalam kereta.
"Selepas itu, suspek terus keluar dari pintu hadapan penumpang dan melepaskan beberapa lagi das tembakan ke arah pasukan polis. Polis telah membalas tembakan dan menyebabkan suspek mati akibat terkena dua tembakan di bahagian dada dan kepala," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sepucuk pistol semi auto jenis Norinco, lapan paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 40 gram bernilai RM1,000 dan dua pasang nombor pendaftaran kenderaan palsu.
"Semakan terhadap nombor kereta Toyota Vios juga mendapati suspek telah menggunakan nombor pendaftaraan palsu dan disyaki kereta terbabit dari negara jiran," katanya.
Asri berkata pada hari yang sama kira-kira pukul 6.30 pagi, polis telah melakukan pemeriksaan di rumah suspek di Kampung Selarong, Perak yang dihuni bersama isterinya warga Thailand yang berusia 30-an.
"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai satu bom buatan sendiri jenis batang paip, pelbagai jenis peluru hidup dan dadah jenis syabu seberat 250 gram yang dianggar bernilai RM17,500. Polis turut menahan isteri suspek untuk siasatan lanjut.
"Suspek yang bergerak secara sendiri ini turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang melibatkan kes pecah rumah dan ugutan jenayah dan mayat suspek telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Related Posts with Thumbnails