Sunday, June 23, 2013

Kepala 'penyamun' dicekup



BALING- Dua orang suspek kes samun di sekitar daerah ini berjaya dicekup di kediaman mereka sebuah kampung di sini pada jam 7 pagi, kelmarin.

Salah seorang suspek dipercayai merupakan ketua ahli kumpulan samun yang bergiat aktif di sekitar Baling, Sik, Kulim dan Sungai Petani.

Hasil risikan polis dan maklumat awam, kedua mereka dicekup secara berasingan di kediaman mereka oleh anggota polis cawangan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Supretendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, salah seorang suspek dipercayai ketua kumpulan itu mempunyai lebih dari 20 rekod jenayah lampau dan kebanyakkan adalah kes samun.

"Penahanan ke dua suspek adalah bagi membantu kes samun di Kuala Ketil minggu lepas. Kita percaya penahanan mereka ini mampu menyelesaikan kes samun itu," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, ahli kumpulan mereka ini terdiri daripada lima orang ahli berumur lingkungan 40 tahun ke atas. Kumpulan ini boleh dianggap berbahaya kerana mereka dikatakan menyamun menggunakan senjata.

Abdul Rahim berkata, kedua suspek kini direman selama selama enam hari untuk siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.

Oleh: Balingtoday
Related Posts with Thumbnails